NICOLO Bulega Menang Di Assen, Tiada Podium Buat Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/12/20251 min read


NICOLO Bulega kembali ke podium sebagai juara selepas menjuarai Perlumbaan 1 WorldSBK Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 di Assen, Belanda, hari ini.
Memulakan perlumbaan di petak kedua, pelumba pasukan Aruba.it Racing Ducati itu tampil dengan persembahan cukup dominan dan memimpin hampir keseluruhan perlumbaan sebelum melepasi garisan penamat 7.801 saat (s) di depan pemenang tempat kedua, Andrea Locatelli.
Mengikuti Locatelli yang juga pelumba pasukan Pata Maxus Yamaha adalah pelumba pasukan Barni Spark Racing, Danilo Petrucci.
Petrucci dalam pada itu terpaksa bersaing sengit dengan penyandang juara dunia WorldSBK, Toprak Razgatlioglu untuk kedudukan berkenaan.
Razgatlioglu sebelum itu turut bersaing dengan Locatelli sebelum cabarannya kendur malah pada satu ketika turut bersaing dengan Sam Lowes dan Alvaro Bautista sebelum kedua-duanya terjatuh.
Dan pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu akhirnya terpaksa berpuas hati selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-4.
Honda tampil dengan persembahan yang baik apabila dua pelumba pasukan 'kilangnya', Team HRC, Iker Lecuona dan Xavi Vierge menamatkan perlumbaan di tempat ke-5 dan ke-6.
Pelumba negara yang beraksi bersama pasukan PETRONAS MIE Honda, Mohd Zaqhwan Zaidi di tempat ke-17.
Begitupun, rakan sepasukannya, Tarran Mackenzie menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
