'NO FP1, No Problem' - Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/29/20251 min read

TOPRAK Razgatlioglu meredakan kebimbangan mengenai masalah ketahanan jentera BMW M1000 RR yang mengalami masalah teknikal ketika Sesi Latihan Bebas 1 (FP1) WorldSBK di Portimao, Portugal, semalam.

Pelumba kelahiran Turki itu tidak dapat menguji jenteranya pada sesi pertama pusingan kedua WSBK itu namun ia tidak mendatangkan masalah untuknya mengungguli hari pertama selepas melakukan catatan terpantas pada sesi kedua.

Pada pusingan pertama di Australia, pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK itu turut dipalit masalah teknikal yang menyaksikannya tidak dapat mengutip sebarang mata pada Perlumbaan Superpole.

Prinsipal pasukan, Shaun Muir memberitahu WorldSBK.com yang masalah itu hanya membabitkan elektronik dan bukan mekanikal sebelum penyandang juara itu menjadi satu-satunya pelumba yang melakukan catatan bawah 1:39s pada sesi kedua.

"Saya tidak kisah mengenai sesi latihan bebas 1 kerana ia baru hari Jumaat," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.

"Saya mempunyai kepercayaan kepada pasukan saya kerana semua orang bekerja amat keras. Ok, saya tidak gembira apabila saaya duduk di 'box' saya tetapi saya melihat semua orang cuba memberikan yang terbaik, saya mengetahuinya jadi saya hanya menunggu untuk latihan bebas 2 dan kami melakukan kerja yang amat bagus.

"Jika saya mula menunggang pada FP1, kini kami boleh mendapatkan pelarasan yang amat bagus, kerana kami kekurangan satu sesi. Tetapi tiada masalah, ia hanya masalah teknikal, ini adalah sukan yang mekanikal, saya tidak berkata apa-apa, hanya menunggu di dalam 'box'.

"Saya kini hanya fokus kepada esok, pada FP3 saya perlu mempertingkatkan sesuatu, dan juga saya memerlukan masa sepusingan yang baik untuk kelayakan."

Razgatlioglu melakukan 2 sesi 10 pusingan pada FP2 untuk mencuba dua pilihan tayar belakang yang boleh digunakan pada minggu ini.

"Pada FP2 kami memulakannya dengan pantas kerana saya perlu melakukan simulasi perlumbaan dan juga mempunyai dua tayar yang perlu difahami yang masa lebih baik untuk perlumbaan," katanya.

"Saya perlu bertambah baik di sesetengah selekoh kerana keadaan yang panas tidak mudah untuk semua orang kerana keseimbangan jentera berubah, pelarasan berubah, kerana kamu merasakan kurang cengmakan dan kamu perlu merubah sesuatu dari sudut brek enjin juga.

"Bagi saya ia juga agak sama. Saya masih merasa baik tetapi saya tidak 100 peratus gembira di beberapa selekoh."