'NO Repsol, No Problem', Kini Dikenali Honda HRC Castrol

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/1/20251 min read

HONDA memperkenalkan liveri serba baharu pasukannya 'kilangnya' di MotoGP musim 2025, hari ini beserta dengan penggunaan nama baharu, Honda HRC Castrol menggantikan nama ikonik, Repsol Honda.

Honda sebelum ini sinonim dengan syarikat minyak gergasi Sepanyol, Repsol dan sudah menjalinkan kerjasama sejak 1994 sebelum ia dihentikan pada penghujung musim lalu.

Begitupun kehadiran Castrol bukan seperti Repsol yang bertindak sebagai penaja utama selain warna 'jingga' turut 'hilang'.

Honda mengharungi kempen penuh mengecewakan pada musim lalu apabila menamatkan saingan di kedudukan terakhir kategori pengeluar selepas hanya mengutip 75 mata.

Kedua-dua pelumbanya, Joan Mir dan Luca Marini turut bergelut apabila mengisi kedudukan tercorot kategori pelumba.

Dan keputusan terbaik diperoleh jenama itu bukan daripada pelumba pasukan utama, tetapi daripada pelumba pasukan satelit LCR Honda, Johann Zarco di kedudukan kelapan di Grand Prix Thailand.

Zarco turut menjadi pelumba terbaik jenama itu selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-17.

Sekalipun tiada perubahan dari sudut pelumba, syarikat pengeluar motosikal gergasi Jepun itu begitupun melakukan beberapa perubahan dari sudut staf bagi musim 2025 dalam usaha untuk kembali bangkit.

Paling signifikan adalah kehadiran Romano Albesiano daripada Aprilia yang mengambil alih tugas sebagai Pengarah Teknikal daripada Ken Kawauchi yang kini memegang tugas mengetuai pasukan ujian.

Selain itu, Honda turut berjaya memikat bekas pelumba Aprilia, Aleix Espargaro yang mengumumkan persaraan musim lalu untuk menjalankan tugas sebagai pelumba ujian musim ini.