NOAH Dettwiler Dah Sedarkan Diri, Boleh Berkomunikasi
Perkembangan terbaharu daripada CIP Green Power KTM, Noah Dettwiler yang terbabit kemalangan ngeri di Grand Prix Malaysia pada Ahad lalu namun turut mengalami kecederaan pada bahagian leher
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/1/20251 min read


PELUMBA Moto3 Switzerland, Noah Dettwiler dilaporkan sudah sedar dan boleh berkomunikasi.
Perkembangan terbaharu daripada pasukannya, CIP Green Power KTM, pelumba berusia 20 tahun itu yang terbabit kemalangan ngeri di Grand Prix Malaysia pada Ahad lalu namun turut mengalami keretakan pada bahagian leher.
Susulan kemalangan dengan Jose Antonio Rueda semasa sesi sighting lap bagi perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia, Dettwiler dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter sebelum menjalani pembedahan pada hari berikutnya.
Menurut pasukannya, keadaan Dettwiler bertambah baik selepas pembedahan pada hari Isnin dan pada hari Rabu dengan keadaannya ketika itu dilaporkan 'tidak lagi kritikal'.
Dan perkembangan terkin, Dettwiler sudah sedar dan keluar dari unit rawatan rapi (ICU).
"Selepas menjalani imbasan X-ray tambahan, doktor turut menemui keretakan pada lehernya. Dia perlu memakai pendakap leher selama beberapa minggu untuk menstabilkannya," kata kenyataan itu.
Dettwiler dilaporkan sudah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di ibu negara untuk meneruskan proses pemulihannya.
Dia dijangka akan menjalani pembedahan lanjut pada kakinya, namun belum dapat dipastikan sama ada ia akan dijalankan di Malaysia atau selepas dia dihantar pulang ke Switzerland.
Dalam pada itu, CIP Green Power KTM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada staf perubatan di litar, Litar Antarabangsa Sepang dan Hospital Kuala Lumpur atas kepakaran dan sokongan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Rueda dilaporkan sudah pulang ke Sepanyol untuk menjalani pembedahan pada tangan kanannya yang patah.

