'OBJEKTIF Ducati Nak Menang, Bukan Sapu Bersih'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/13/20241 min read

DUCATI mengharungi kempen cukup menakjubkan di MotoGP musim lalu dan hanya Aprilia menerusi Maverick Vinales berjaya menafikan mereka untuk menyapu bersih kesemua gelaran yang ditawarkan.

Secara keseluruhan, pengeluar Itali itu merangkul 53 podium sepanjang tahun lalu dan ia adalah peningkatan 10 podium berbanding musim 2023.

Tetapi disebabkan dominasi yang ditambilkan, bos Ducati Corse, Gigi Dall’Igna menegaskan situasi itu turut mengakibatkan Ducati menjadi kurang popular.

"Apa yang penting adalah menang, bukan menyapu bersih," kata Dall’Igna memetik laporan Motorsport. "Apabila kami sapu bersih semua, kamu menjadi tidak popular.

"Malah saya fikir pengeluar lain melihat saya seperti itu, dan ia membuatkan saya merasa teruk.

"Saya bekerja untuk terus menang, sekalipun ia kadang kala berlaku yang kami berlebihan sedikit, dan kemudian terjadinya situasi seperti ini.

"Tetapi objektif saya bukanlah untuk mengatasi apa yang kami lakukan saban tahun, tetapi untuk menang, mudah."

Dall’Igna sering kali menyifatkan kebangkitan Ducati adalah disebabkan kefahaman mereka terhadap aerodinamik tetapi pasukan itu sudah 15 tahun untuk cuba menjadi juara sebelum ia terjadi pada 2022.

Dan kejayaan yang dilakar menerusi Francesco Bagnaia diulang pada 2023 sebelum pelumba pasukan satelit Ducati, Jorge Martin menjulangnya bersama Pramac Ducati musim ini.

Ducati pada musim 2024 menyenaraikan lapan jentera di grid tetapi angka itu berkurangan kepada enam musim depan menerusi pengunduran Pramac.

Tetapi di pasukan utama Ducati Lenovo, mereka memperoleh gandingan yang dilihat cukup berbahaya menerusi Bagnaia dan Marc Marquez di garaj.