OTAI Masih Berbisa, Azlan Shah Hadiahkan Kemenangan Buat Malaysia!
Kejayaan Azlan Shah Kamaruzaman memastikan lagu Negaraku bergema di Mandalika yang menyaksikan pelumba negara mengungguli kedua-dua perlumbaan kelas elit ASB1000 selepas Hafizh Syahrin Abdullah menjuarai Perlumbaan 1
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/31/20251 min read


AZLAN Shah Kamaruzaman membuktikan 'sengatnya' di litar masih berbisa apabila menjuarai Perlumbaan 2 kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hari ini yang turut memastikan lagu Negaraku terus bergema di Mandalika, Indonesia.
Selain menjadi hadiah terindah kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, kemenangan turut menjadi bukti kepada kebangkitan kembali pelumba pasukan A1 Energy BMW Racing Team itu selepas bergelut dengan prestasi pada musim ini.
Sekalipun memulakan perlumbaan di petak keempat, bekas juara Asia itu berusia 41 tahun itu mempamerkan tunggangan yang cukup matang untuk menamatkan saingan dengan catatan masa 20 minit 55.147 saat mengatasi pelumba Jepun, Keito Abe yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Pelumba tuan rumah, Andi Farid Izdihar melengkapkan podium di tempat ketiga.
Azlan berkata perjalanan kariernya pada musim ini amat sukar selepas dia dilihat bergelut untuk menemui semula rentak terbaik.
"Jika melihat perjalanan saya bersama pasukan, tahun ini agak lewat bagi saya untuk berada pada prestasi terbaik. Saya agak bergelut dengan jentera dan diri saya sendiri," kata Azlan.
"Tahun lalu di Mandalika, saya mempunyai memori yang menakutkan, mengalami highside di perlumbaan 8 Hours, dan juga di sini, jadi saya hilang semua motivasi.
"Tetapi pada tahun ini, saya datang ke sini dan saya bercakap dengan diri saya sendiri, jika tak boleh menang, saya perlu perbaiki diri saya cuba nikmati litar ini."
Menurut bekas pelumba Moto2 negara itu, strategi untuk kekal tenang dan mengikut kelompok hadapan menjadi kunci kepada kejayaannya, berbeza dengan Perlumbaan 1 di mana dia terlalu teruja sehingga melakukan banyak kesilapan.
"Perancangan saya adalah cuba mengikuti kelompok utama, cuba menikmati perlumbaan dan mengawal tenaga saya. Saya mengikuti mereka yang laju, cuba kekal tenang, kekalkan rentak dan saya bertuah dapat tempat pertama ini," katanya sambil berterima kasih kepada pasukannya yang bekerja keras untuk menyiapkan jenteranya yang mengalami kerosakan teruk ketika kelayakan.
Sementara itu, nasib malang menimpa pemenang Perlumbaan 1 semalam, Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT Racing Team, apabila terbabit dalam kemalangan ketika sedang selesa mendahului perlumbaan.
