Ottimo Dah Berkubur?

TULAR

7/22/20231 min read

SATU laporan 'perit' membabitkan industri motosikal tempatan tersebar apabila syarikat pengeluar motosikal tempatan, Ottimo Technologies Sdn Bhd didakwa berkemungkinan sudah menutup operasinya.

Perkembangan mengecewakan itu timbul selepas rakan media, arenamotosikal.com mengeluarkan laporan berbentuk persoalan adakah syarikat yang memulakan operasi pengeluaran model pertamanya pada tahun 2018 itu sudah pun gulung tikar.

Ottimo Technologies Sdn Bhd pada penghujung tahun 2018 lalu memeriahkan segmen kapcai tempatan dengan melancarkan sebuah model dikenali Ottimo Viz 110.

Apa yang menarik, pelancaran motosikal berkenaan dibuat di lokasi yang menarik di Kedah (Gunung Jerai) dan turut dihadiri media-media automotif ternama tempatan yang dibawa daripada Lembah Klang.

Dan lebih menarik lagi adalah reka bentuk Ottimo Viz 110 adalah motosikal yang mirip model super moped popular Honda RS150R.

Begitupun, ia tidak dipadankan dengan enjin dan teknologi yang sama dengan Honda RS150R sebaliknya dijana enjin patuh piawaian Euro3 bersesaran 107 cc, 1 Silinder, Penyejuk Udara, Karburator yang digandingkan dengan transmisi 4 kelajuan.

Kuasa yang dihamburkan adalah 6.7 Hp pada 8,000 rpm dengan tork 6.9 Nm pada 6,000 rpm.

Diperkenalkan sebagai motosikal 'rakyat', Ottimo Viz 110 ditawarkan dengan harga yang 'marhaen' dan semakin murah sejak beberapa tahun lalu.

Berpandukan kepada pencarian di laman web rasmi syarikat itu, ia tidak lagi boleh diakses manakala laman sosial rasmi di Facebook juga sudah lama tidak dikemas kini. Dan pencarian motosikal jenama itu di laman sesawang jual beli juga menyaksikan ia tidak lagi diiklankan.

Tidak diketahui sama ada Ottimo Technologies Sdn Bhd yang stafnya kebanyakan adalah orang yang berpengalaman luas dalam bidang permotoran tempatan benar-benar sudah menutup operasi atau 'berehat' sebentar. Ini kerana sebelum ini, ada pempengaruh media sosial membuat lawatan ke ibu pejabat mereka untuk sesi penerangan penghasilan sebuah super moped.

Apapun, kita tunggu kenyataan rasmi daripada Ottimo sendiri sama ada perkembangan ini benar atau sebaliknya.