P7 Buat Hakim Danish Di Catalunya

Keputusan tempat ke-7 di Barcelona adalah yang terbaik buat Hakim Danish yang juga pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi selepas 6 pusingan pada musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/17/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Catalunya 2026 di kedudukan ke-7, hari ini dalam perlumbaan yang boleh disifatkan sebagai peluang terbaik buatnya untuk mengisi kedudukan podium.

Berlangsung penuh mendebarkan di Barcelona pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi yang memulakan perlumbaan di petak ke-10 tidak menunggu lama untuk mempamerkan kemampuannya apabila menghambat kelompok depan.

Malah pelumba kelahiran Terengganu itu pada satu ketika turut berjaya memimpin perlumbaan di pusingan ke-4 namun kedudukan itu tidak bertahan lama.

Enggan momentum baiknya di Catalunya sejak Jumaat kendur, Hakim Danish berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kelompok utama dalam keseluruhan perlumbaan.

Cuba mencipta kejutan pada pusingan terakhir yang menyaksikannya mengisi tempat ke-3, persaingan sengit membabitkan kelompok utama menyaksikan pelumba berusia 18 tahun itu melepasi garisan penamat di tempat ke-7 dan mengutip 9 mata kejuaraan.

Bagi menceritakan debaran perlumbaan berkenaan, kedudukan 1-8 dibezakan kurang daripada 1 saat.

Apapun, keputusan di Barcelona adalah yang terbaik buat Hakim Danish selepas 6 pusingan musim ini.

Pendahulu carta kedudukan Moto3 2026, Maximo Quiles dari CFMoto Aspar Team yang tampak bergelut menamatkan perlumbaan sebagai juara yang juga kemenangan ke-4 buatnya pada musim ini.

Alvaro Carpe dari Red Bull KTM Ajo menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 manakala David Munoz (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) melengkapkan podium.

Selesai enam pusingan, Hakim Danish kini mengumpul 27 mata dan mengisi kedudukan ke-11 keseluruhaan.

Saingan MotoGP akan bersambung di Pusingan 7 GP Itali yang dijadual berlangsung dari 29 hingga 31 Mei ini.