PAKAR Tak Sokong Cadangan Naik Taraf Lesen B2 ke B 'Full' Automatik

TULAR

8/29/20231 min read

SEPERTI dijangka, cadangan TPM yang mengesyorkan agar pemegang lesen motosikal Kelas B2 dinaik taraf kepada B secara automatik selepas tiga tahun tak mendapat sokongan golongan 'pakar' berkaitan perkara berkenaan di Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengusulkan cadangan 'popular' dengan berkata cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik dalam tempoh tiga tahun akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar menegaskan cadangan itu perlu diteliti dengan sedalam-dalamnya kerana ia boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara.

Menurut Mat Aris, langkah itu katanya boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini dilihat mundur kerana ia membabitkan kompetensi seseorang penunggang.

Malah katanya, setakat ini belum ada mana-mana negara memberi kemudahan menaik taraf kelas lesen memandu secara automatik.

"Saya mohon kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghormati kompetensi seseorang bagi melayakkan dia memandu sesuatu kelas kenderaan di Malaysia.

"Apabila bercakap mengenai kompetensi, ia bertentangan dengan pengalaman kerana pengalaman itu bersifat subjektif, mungkin dia ada lesen B2 tetapi dia tidak pernah menunggang (motosikal berkuasa tinggi), mungkin ada lesen B2 tetapi penunggang itu terdedah kepada kemalangan. Ini membabitkan soal nyawa," katanya.

Seorang lagi 'pakar' di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua menyatakan dia tidak bersetuju dengan cadangan terbabit kerana kemahiran membawa motosikal berkuasa rendah dan berkuasa tinggi adalah berbeza.

"Saya tidak sokong kerana mereka yang ingin menunggang motosikal berkuasa tinggi memerlukan pengalaman yang mencukupi, matang dan perlu mempelajari cara menunggang kenderaan terbabit dengan lebih cermat."

Menurut Teik Hua, mereka yang ingin mendapatkan lesen Kelas B sepatutnya harus mengikuti latihan dan lulus ujian yang dipraktikkan ketika ini.