PAKEJ 'Aero' Lama Yamaha M1 Terbukti Lagi Padu Di Catalunya - Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/5/20232 min read

TIBA di Catalunya sebagai penyandang juara, jaguh Yamaha, Fabio Quartararo berdepan situasi mengaibkan apabila menamatkan Perlumbaan Sprint Grand Prix Catalan di tangga ke-18.

Terkesan dengan situasi berkenaan, pelumba kelahiran Perancis itu melakukan sesuatu yang drastik pada hari Perlumbaan Utama, menggunakan Yamaha M1 dengan asas musim lalu termasuk pakej aerodinamik.

Dan selepas mengujinya dan ia terbukti lebih kompetitif, termasuk melakukan catatan ke-4 terpantas ketika sesi pemanas badan, Quartararo mengambil keputusan untuk tidak lagi menoleh ke belakang.

Tak terbabit dengan drama insiden seawal selekoh pertama yang mengakibatkan beberapa pelumba terpaksa menarik diri, Quartararo membuktikan ia jentera lebih baik dan turut memintas beberapa pelumba antaranya Marc Marquez, Fabio di Giannantonio dan Jack Miller untuk menamatkan perlumbaan di tangga ke-7.

Ia menjadi satu-satunya jentera keluaran jenama Jepun dalam kelompok 12 terbaik dengan Marquez menjadi pelumba Honda terbaik di tangga ke-13.

"Bagi saya, ia hari yang baik. Terutama selepas kami kembali menggunakan jentera tahun lalu, asas jentera tahun lalu," kata Quartararo.

"Ia bukannya kali pertama, tetapi secara asasnya pada Jumaat dan Sabtu, kami melakukan banyak perubahan. Setiap kali saya keluar saya menggunakan jentera yang berbeza, pelarasan yang berbeza, keseimbangan berat yang berlainan.

"Jadi pada pagi (Ahad), kami memutuskan untuk menggunakan asas tahun lalu dan perasaan saya lebih baik. Kami menggunakannya ketika perlumbaan dan saya fikir ia adalah langkap yang baik.

"Saya boleh mendapat kelajuan yang hebat dan itulah ia. Ada beza 10 saat dengan kelompok depan. Pada Sabtu, setengah pusingan. Kami menamatkan perlumbaan 17 saat di belakang pemenang, jadi saya fikir ia bukanlah sesuatu yang amat buruk."

Sebagai perbandingan, pakej aerodinamik yang digunakan kepada jentera Yamaha M1 pada tahun ini lebih besar berbanding pada tahun lalu.

"Menggunakan 'Sayap' yang besar turut bermakna kamu perlu menggunakan lebih banyak kuasa, dan menggunakan 'Sayap' yang kecil adalah idea yang baik, terutama di litar ini.

"Mungkin di Misano saya fikir kami akan kembali menggunakan 'Sayap' yang besar. Tetapi saya fikir adalah hebat untuk membandingkan pakej aero pada litar yang sama dan sudah tentu ia memberikan lebih banyak informasi bagaimana ia bertindak ketika membrek, mengambil selekoh, berada di penghujung, jadi saya fikir adalah hebat untuk melakukannya."

Sementaranya, rakan sepasukan Quartararo iaitu Franco Morbidelli menamatkan kempen di Catalunya di tangga ke-14.