PAKEJ Yang Aprilia Ada Sekarang Jauh Lebih Baik - Jorge Martin

Keyakinan Jorge Martin bersama Aprilia meningkat sejak dia menjalani ujian persendirian MotoGP di Misano, seminggu sebelum aksi di Brno bermula

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/24/20251 min read

Jorge Martin
Jorge Martin

JORGE Martin percaya Aprilia ketika ini jauh lebih kompetitif berbanding kali terakhir berlumba menggunakan RS-GP ketika di Qatar pada April lalu.

Penyandang juara dunia MotoGP, Martin kembali berlumba di Brno selepas beberapa bulan berehat susulan pelbagai siri kecederaan yang dihadapinya.

Sebelum ke Republik Czech, pelumba kelahiran Sepanyol itu sempat untuk menjalani ujian persendirian di Misano seminggu sebelum aksi di Brno dan dapat merasakan yang jenteranya Aprilia RS-GP bertambah baik.

"Pakej yang ada sekarang jauh lebih baik berbanding ketika saya tinggalkan di Qatar. Perkara ini saya boleh katakan 100 peratus. Kini adalah masa untuk diri saya bertambah baik, untuk membiasakan diri dengan jentera ini.

"Saya fikir setiap pusingan yang saya lakukan saya akan semakin kuat, kerana saya boleh melakukan brek dengan keras, saya boleh membuka terotel lebih cepat sedikit.

"Jadi ia hanya mengenai masa yang akan akan berada di sana bersaing dengan kelompok utama. Saya hanya memerlukan masa untuk membiasakan diri."

Bekas pelumba Pramac Ducati itu turut mengakui dia semakin selesa bersama Aprilia yang menyaksikan kemelutnya bersama pengeluar Itali itu ditamatkan.

"Ia menakjubkan," kata Martin kepada Motogp.com. "Saya fikir pasukan saya, kami memiliki pasukan yang hebat, keluarga yang hebat."Saya fikir sukar untuk mempercayainya, tetapi baru saja tiga hari saya sudah merasa seperti di rumah sendiri.

"Jadi saya amat bangga. Kami akan terus bekerja bersama, menjadi keluar, kerana amat penting untuk memiliki keyakinan untuk masa depan."

Di Brno, Martin berjaya memasuki Kelayakan 2 secara terus namun menamatkan kelayakan di petak ke-12 sebelum memperoleh tempat ke-11 pada Perlumbaan Sprint. Begitupun, dia menampilkan prestasi baik pada perlumbaan utama selepas melepasi garisna penamat di tempat ke-7.