LEGENDA Itali, Giacomo Agostini menjelaskan dua elemen penting bagi perebutan kejuaraan MotoGP musim ini yang membabitkan dua pelumba, Francesco Bagnaia dan Jorge Martin.
Sekalipun tidak menyebut pemain yang diletakkan sebagai pilihan, tetapi menurut pelumba yang memiliki 15 gelaran dunia itu, sesiapa diantara kedua-dua pelumba itu yang lebih tenang dan mampu memberikan lebih tumpuan akan mempunyai kelebihan.
"Sukar untuk menyatakannya kerana mereka berdua amat bagus dan laju," kata Agostini memetik laporan GPOne. "Ia bergantung kepada siapa pada perlumbaan terakhir mampu untuk menggunakan sepenuhnya pengalaman mereka.
"Ketika ini, tekanannya amat tinggi dan kesilapan boleh menjadi bencana kerana sudah tiada masa untuk pulih seperti di awal kejuaraan di mana masih banyak perlumbaan akan berlangsung.
"Melakukan satu lagi kesilapan atau membuat kesilapan boleh bermakna kamu tidak lagi mampu mencabar.
"Ketenangan dan tumpuan akan memainkan peranan yang penting. Mungkin kita perlu menunggu sehingga pusingan terakhir untuk mendapatkan jawapan."
Berbaki empat pusingan musim ini termasuk di Grand Prix Malaysia pada bulan depan, Martin dari pasukan Pramac Ducati memimpin kejuaraan dengan Bagnaia dari Ducati Lenovo ketinggalan 10 mata.
Pusingan ke-17 MotoGP 2024 dijadual berlangsung di Litar Phillip Island pada minggu ini.