PANDANGAN Jorge Lorenzo Mengenai Spekulasi Pedro Acosta Ke Ducati, Pecco Bagnaia Ke Aprilia
Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkaitan setakat ini tetapi Jorge Lorenzo yang terkenal dengan beberapa keputusan berani dan kontroversi menukar pasukan sepanjang kariernya, percaya kedua-dua pelumba itu sedang melakukan tindakan yang tepat
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/17/20261 min read


LEGENDA MotoGP, Jorge Lorenzo percaya spekulasi panas yang mengaitkan Pedro Acosta dengan pasukan kilang Ducati dan penghijrahan juara dua kali Pecco Bagnaia ke kem Aprilia menjelang 2027 sebagai tepat.
Ketika diajukan soalan mengenai khabar angin itu oleh Crash, juara dunia MotoGP tiga kali itu memberikan jawapan "Sudah pasti! 100 peratus."
Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkaitan setakat ini tetapi Lorenzo yang terkenal dengan beberapa keputusan berani dan kontroversi menukar pasukan sepanjang kariernya, percaya kedua-dua pelumba itu sedang mengorak langkah kerjaya yang sangat tepat.
"Saya fikir mereka sudah membuat pilihan yang tepat. Pedro membuat pilihan tepat untuk ke Ducati. Dia akan mendapat pakej yang sama dengan pelumba terbaik, seperti Marc (Marquez). Jadi, saya yakin dia akan menjadi sangat cemerlang.
"Bagi Pecco pula, dia memang perlu mengubah angin untuk mula berfikir secara positif semula. Berada di Ducati, dengan Marc di dalam garaj yang sama, Pecco dilihat tidak lagi 'segar' dan kehilangan sisi positifnya."
Lorenzo berkata Aprilia bukanlah sebuah pasukan yang teruk jadi ia keputusan yang tepat jika menyertai pengeluar Itali itu.
Sebagai rekod, Lorenzo sendiri pernah berentap sebagai rakan sepasukan dengan pelumba ternama termasuk menghabiskan tujuh daripada sembilan musimnya di Yamaha bersama legenda Itali, Valentino Rossi.
Lorenzo juga pernah mencetuskan kejutan apabila menyertai projek Ducati yang sedang meningkat naik pada 2017 dan 2018, di mana dia melengkapkan rekod kemenangan ke-47 kerjayanya.
Tetapi kejayaan bersama jentera Ducati Desmosedici itu tiba terlalu lewat kerana Lorenzo sudah pun terikat untuk menempuh satu lagi cabaran besar - bergelar rakan sepasukan Marc Marquez di Repsol Honda, yang akhirnya menjadi musim terakhirnya pada 2019 gara-gara siri kecederaan.

