PARIS Rancang Larangan Terhadap Penggunaan Motosikal & Skuter Di Tengah Malam

TERKINI

2/9/20241 min read

scooter parking
scooter parking

IBU negara Perancis, Paris mencipta 'sensasi' susulan rancangan bandaraya metropolitan itu untuk menguatkuasakan larangan terhadap penggunaan motosikal dan skuter di waktu tengah malam.

Dan seperti yang boleh dijangka, pelan terhadap sekatan penggunaan kenderaan dua roda itu dibuat atas alasan mengelakkan pencemaran bunyi di tengah malam.

Menurut laporan The Connexion, larangan itu dicadangkan bermula pada jam 10 malam sehingga 7 pagi.

Cadangan itu diusulkan oleh Kauselor daripada sebuah parti politik Perancis, Horizons iaitu Pierre-Yves Bournazel.

Dakwa Bournazel, penggunaan sebuah motosikal atau skuter pada malam hari boleh mengejutkan ribuan warga Paris dan ia sudah pun menjadi 'bencana' kepada penduduk bandaraya berkenaan.

Dan Bournazel sudah pun menemui Majlis Bandaraya Paris dan mendesak untuk tempoh percubaan selama setahun terhadap cadangan itu.

Begitupun, ada pengecualian kepada cadangan larangan itu.

Menurut cadangan itu, mereka yang melakukan perjalanan ke atau dari tempat kerja dibenarkan untuk menunggang motosikal atau skuter pada tempoh larangan berkenaan.

Seperti dijangka, cadangan itu mencipta pelbagai kritikan terutama daripada penduduk Paris yang menggunakan kenderaan berkenaan sebagai medium pengangkutan utama.

Persatuan yang membela penunggang motosikal di Perancis, Federation Francaise des Motards en Colere atau FFMC dalam pada itu berkata cadangan itu melanggar hak penunggang motosikal di negara berkenaan.

Tetapi sehingga artikel ini ditulis, tidak diketahui sama ada larangan itu sudah pun dikuatkuasakan atau belum.