PASUKAN 'Abang' Petronas MIE Honda, HRC Dedah 'Liveri' WorldSBK 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/10/20241 min read

HONDA Racing Team (HRC) mendedahkan 'Liveri' baharu pasukan itu bagi kempen WorldSBK 2024 yang dikemudi dua pelumba Iker Lecuona dan Xavi Vierge.

Seperti musim-musim sebelumnya, pasukan yang menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R spesifikasi terkini itu tampil dengan warna korporat Honda iaitu gabungan Merah dan Biru.

Selain pasukan utama atau 'Kilang', Honda turut memiliki pasukan satelit di kempen WorldSBK menerusi Petronas MIE Racing Honda.

Turut menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R spesifikasi terkini, pasukan itu dipacu pelumba Malaysia, Adam Norrodin dan pelumba berpotensi Britain, Tarran Mackenzie.

Tahun lalu, pasukan HRC WorldSBK tampak bergelut dan menamatkan kempen di tangga ke-5 keseluruhan (kategori pengeluar) di bawah pasukan satelit Yamaha, GYTR GRT Yamaha WorldSBK.

Daripada 36 perlumbaan yang berlangsung sepanjang 12 pusingan, pasukan itu hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan podium sekali menerusi Vierge di Indonesia.

Dan Vierge turut menjadi pelumba terbaik Honda selepas menamatkan kempen di tangga ke-10 keseluruhan dengan mengumpul 149 mata.

Sebagai perbandingan, juara dunia WorldSBK musim lalu, Alvaro Bautista (Ducati) mengumpul keseluruhan 628 mata dan naib juara, Toprak Razgatlıoglu (Yamaha) mengutip 553 mata.

Sementara itu, Petronas MIE Racing Honda yang menggunakan khidmat bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan saingan di tangga ke-13 keseluruhan.