PASUKAN Terbaik Dalam Sejarah Ducati, Marc Marquez Pilihan Tepat - Gigi Dall’Igna

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/7/20241 min read

GIGI Dall’Igna yakin pemilihan Marc Marquez untuk menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo bagi musim 2025 adalah pilihan yang tepat dan Ducati kini memiliki pasukan terbaik dalam sejarah pengeluar Itali itu.

Dall’Igna yang juga Pengarah Besar Ducati Corse mengakui dia berdepan kesukaran untuk membuat keputusan dalam persaingan yang dikatakan membabitkan tiga penjuru - Marquez, Jorge Martin dan Enea Bastianini.

Dan selepas beberapa kali mengubah keputusan, posisi 'panas' itu akhirnya diberikan kepada juara dunia lapan kali, Marquez.

"Saya harap malam ini adalah yang pertama saya benar-benar dapat berehat," kata Dall’Igna kepada SkySport.it.

"Ia keputusan yang rumit, kedua-duanya daripada sudut kesukanan dan juga kemanusiaan, kerana tidak ada pelumba yang melepasi batasan. Tidak pernah ada masalah.

"Saya mengubah idea beberapa kali sejak beberapa hari lalu, tetapi pada akhirnya, saya yakin yang Marquez adalah pilihan yang betul. Kami memiliki pasukan terbaik dalam sejarah Ducati.

"Saya amat gembira."

Mengulas lanjut, Dall’Igna berkata keputusan itu dibuat pada hari terakhir GP Itali 2024 di Mugello.

"Kami memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan perincian membabitkan kontrak," kata Dall’Igna yang mendedahkan Ducati memang mahu mengekalkan Martin dan Marquez namun ia terlalu rumit.

Gandingan Marquez, Bagnaia menyaksikan Ducati Corse kini memiliki pelumba yang sudah merangkul lapan gelaran dunia MotoGP secara keseluruhan.

"Mereka adalah juara. Tekad mereka cukup tinggi. Kedua-duanya pernah bergelut dan tahu perasaan berada dalam kesusahan," kata Dall’Igna. "Ketika ini kamu dapat melihat semangat juara."