PATA Yamaha Prometeon WorldSBK 'Tanpa Toprak' Tayang 'Liveri' 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/28/20241 min read

PASUKAN 'Factory' Yamaha di perlumbaan WorldSBK, Pata Yamaha Prometeon menayangkan 'Liveri' pasukan itu bagi kempen 2024 yang dipacu juara dunia enam kali WorldSBK, Jonanthan Rea.

Bergandingan bersama bekas pelumba yang mencipta nama dan kejayaan bersama Kawasaki itu adalah Andrea Locatelli.

Rea menyertai Pata Yamaha Prometeon selepas pelumba bintang pasukan itu, Toprak Razgatlioglu memilih untuk angkat kaki dan menyertai BMW Motorrad.

Locatelli sementara itu akan mengharungi musim keempatnya bersama Pata Yamaha Prometeon dan masih memburu kemenangan pertamanya bersama pasukan itu.

"Saya teruja untuk memulakan musim baharu sekarang," kata Rea. "Peralihan ke keluarga Yamaha berjalan dengan amat lancar dan kami bekerja bekerja keras untuk mendapatkan keselesaan dengan Yamaha R1 sepanjang musim sejuk, meneroka had dan memahami apa yang perlu kami lakukan untuk memulakan musim ini.

"Ia semakin hampir ke Phillip Island, litar yang saya amat gemari dan sasaran adalah untuk cuba menikmati jentera sepanjang minggu, mengekploitasi segala kekuatannya dan sudah pasti sasaran adalah untuk kompetitif dan bertarung untuk menang dalam perlumbaan.

"Saya tidak sabar untuk melihat potensi kami di Australia, tetapi selepas melihat gambar dengan 'Liveri' baharu Pata Prometeon Yamaha, segala-galanya kini nampak jelas.

"Saya benar-benar merasa seperti pelumba Yamaha ketika ini dan saya tidak sabar untuk melihat apa yang kami boleh lakukan bersama."

Kesemua pasukan WorldSBK akan sekali lagi mengharungi sesi ujian di Portimao, Portugal bermula esok selama dua hari sebelum kempen bermula pada penghujung Februari depan.