FRANCESCO Bagnaia mengetahui dia berdepan tugas cukup sukar untuk mengekalkan gelaran dunia MotoGP miliknya menuju perlumbaan penutup tirai di Barcelona, Sepanyol, minggu depan.
Berbaki dua perlumbaan di Catalunya, pelumba Ducati Lenovo itu ketika ini ketinggalan 24 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin yang hanya perlu menambah dua mata daripada angka itu untuk mengesahkan kejuaraan.
Sedar yang peluangnya berkemungkinan terkubur ketika aksi Sprint, Bagnaia begitupun jelas masih belum berputus asa seperti ditunjukkan di Sepang.
Malah pelumba kelahiran Itali itu mengakui peluangnya mungkin lebih cerah andai mendapat 'bantuan' pelumba lain.
"Kami masih mempunyai peluang, tetapi kami benar-benar memerlukan bantuan daripada orang lain," kata Bagnaia memetik laporan Crash.net.
"Kerana jika saya menang dan dia (Martin) menamatkan perlumbaan di tempat kedua, kami berada di tahap yang lain.
"Saya sentiasa membantu orang lain (sesi latihan bebas dan kelayakan) dan membenarkan 'slipstream' saya jika ada yang mengikuti.
"Saya tahu yang Aleix Espargaro akan kuat (di Barcelona) dan akan membantu Jorge sepanjang minggu. Saya hanya memerlukan seseorang untuk berada di antara saya dengannya."
Pada aksi di Catalunya pada Mei lalu, Bagnaia menempuh situasi agak sama seperti di Sepang apabila terjatuh pada Perlumbaan Sprint dan memenangi perlumbaan utama.
Martin pula tidak menamatkan Perlumbaan Sprint di posisi podium tetapi menamatkan perlumbaan utama di belakang Bagnaia.