PECCO Akui Sudah Capai Had, Boleh Jadi Antara Pertarungan Terhebat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/8/20241 min read

ANDAI Jorge Martin tidak terjatuh, 'pertarungan' pusingan terakhir bagi merebut kemenangan di Grand Prix (GP) Jerman 2024 berpotensi menjadi antara yang terhebat buatnya di MotoGP, kata Francesco Bagnaia.

Pecco merangkul kemenangan ke-4 berturut-turutnya musim ini, semalam selepas pendahulu Martin dari Pramac Ducati terjatuh ketika berbaki dua pusingan dalam aksi yang menghiburkan di Sachsenring.

Memulakan perlumbaan di petak ke-4 dan pada satu ketika berada tangga ketiga di belakang Martin dan seorang lagi pelumba Pramac, Franco Morbidelli, pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu mengakui dia perlu berhati-hati dalam pengurusan tayar.

"Hari ini saya hanya cuba untuk menjadi amat, amat tepat dengan tayar belakang kerana saya tahu lebih banyak cengkaman yang saya ada pada babak terakhir perlumbaan, lebih baik," kata Bagnaia.

"Apabila kedua-dua pelumba Pramac memintas saya, saya melihat mereka memberikan tekanan yang agak berlebihan, jadi saya memutuskan untuk perlahan sedikit.

"Mungkin saya kehilangan banyak masa di belakang Franky (Morbidelli), kerana kemudian Jorge memcipta jurang lebih daripada 1 saat. Jadi saya cuba untuk kembali memberik tekanan untuk merapatkan kedudukan dengan Jorge.

"Saya amat hampir, tetapi kemudian dia kemalangan, tidak bernasib baik, Saya fikir ia boleh menjadi salah satu pertarungan terhebat di antara kami pada pusingan terakhir."

Mengulas lanjut, Bagnaia mengakui dia sudah berada menghampiri had pada beberapa zon membrek di Sachsenring.

"Saya berada dalam situasi yang sama, melakukan brek di beberapa kawasan di litar amat sukar," katanya. "Selekoh 1 dan selekoh 12 amat, amat amat sulit. Terlalu banyak pergerakan pada tayar depan dan terkunci."

Kemenangan di Sachsenring menyaksikan Pecco turut merampas kedudukan pendahulu carta kejuaraan daripada Martin selepas mengumpul 222 mata diikuti pencabar terdekatnya itu, 212 mata.

Pemenang tempat kedua di Jerman, Marc Marquez kekal di tangga ketiga dengan 166 mata.