PECCO Akui Tak 'Goyang', Hanya Terlebih Ambil Risiko

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/5/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia menjelaskan dia terpaksa mengambil risiko dengan memperlahankan jenteranya di penghujung Perlumbaan Sprint yang hampir mengakibatkannya terlepas untuk bergelar pemenang.

Pelumba pasukan Ducati Lenovo itu memanfaatkan malang yang menimpa Pedro Acosta yang terjatuh namun keputusan yang dibuatnya hampir mengakibatkan dia berdepan kecewa.

Tetapi menurut Bagnaia, terpaksa mengambil risiko itu selepas hujan mula turun di Motegi.

"Menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama menakjubkan, jadi saya amat gembira," kata Bagnaia memetik laporan TNT Sport.

"Saya mengambil risiko pada pusingan terakhir dengan mungkin memperlahankan kelajuan saya dengan agak banyak, tetapi segala-galanya berada dalam kawalan. Jadi saya amat gembira.

"Ia kerana pada pusingan terakhir hujan mula turun sedikit tetapi apabila saya melihat jurang 1.3 saat pada permulaan pusingan terakhir, saya berkata 'Ok', saya mempunyai margin, saya boleh perlahan sedikit kepada 1 saat'.

"Dan saya melakukannya dan ia ok."

Ketika ditemuramah di 'parc ferme', Bagnaia turut mendedahkan dia terpaksa menggunaan pemetaan yang berbeza dan kuasa sedikit rendah terhadap jenteranya selepas dia menggunakan bahan api yang lebih ketika sesi pemanas badan.

"Kami terpaksa mengorbankan sedikit prestasi ketika perlumbaan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mengenai keadaan sebelum perlumbaan," kata Bagnaia.

"Jadi saya perlu mengharungi perlumbaan dengan pemetaan yang sedikit kurang berkuasa. Tetapi segala-galanya berjalan baik."