PELUMBA Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia mengakui masalah 'misteri' yang menjejaskan prestasinya di Grand Prix (GP) Indonesia 2025 masih belum menemui jawapan dan kembali terjadi pada hari pertama GP Australia, hari ini.
Juara dunia dua kali itu mengakui hanya satu daripada dua jentera yang dibekalkan kepadanya di Phillip Island boleh digunakan secara kompetitif, tetapi ia masih gagal memberikan rasa tunggangan seperti yang dirasai ketika meraih kemenangan bersih di Motegi, Jepun.
“Malangnya, masalahnya sama seperti di Indonesia. Kami masih belum tahu bagaimana nak selesaikannya,” kata Bagnaia kepada Sky Italy sekalipun berjaya enamatkan sesi Latihan dengan catatan ke=9 terbaik dan layak terus ke Kelayakan 2 (Q2).
Selepas mencatat kemenangan hatrik di Jepun, Bagnaia mengharungi detik mengecewakan seminggu kemudian menerusi kemerosotan mendadak di Mandalika. Dia menamatkan perlumbaan Sprint di tempat terakhir sebelum terjatuh dalam perlumbaan GP.
“Saya tak dapat teruskan tugas yang dirancang dengan tayar. Ada banyak komplikasi dengan satu daripada dua jentera dalam kedua-dua sesi,” katanya.
Meskipun berjaya menempatkan diri dalam kelompok Q2, Bagnaia mengakui jentera yang ‘boleh digunakan’ itu masih jauh daripada tahap ideal.
“Ia bukan seperti di Jepun. Tapi sekurang-kurangnya boleh digunakan. Kami cuba jadikannya lebih serupa, tapi saya masih tak dapat rasa depan yang stabil dan jentera yang perlahan dengan baik,” katanya.
Masalah yang dialami Bagnaia dikatakan pernah berlaku dua atau tiga kali musim ini, namun pasukan Ducati masih belum menemui punca sebenar.
“Pasukan sedang menganalisis apa yang boleh dilakukan. Saya tahu mereka berusaha keras,” katanya.