PELUMBA Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia optimis dia mampu mengejar kedudukan pendahulu kejuaraan, Jorge Martin ketika beraksi di dua litar terakhir dalam kalendar MotoGP di Buriram dan PETRONAS SIC.
Jurang antara Bagnaia dan Martin dari Pramac Ducati bertambah daripada 10 mata ke 20 mata menuju aksi Pusingan 17 di Grand Prix Thailand, minggu ini selepas mengharungi kempen kurang mengujakan di Phillip Island.
Pada Perlumbaan Sprint, Pecco menamatkan aksi di tempat keempat diikuti tempat ketiga pada perlumbaan MotoGP dengan Martin meraih menjuarai Perlumbaan Sprint dan tempat kedua perlumbaan utama.
"Ia nampak seperti di Indonesia, kami bangkit, kami tewas, dan kami bangkit sekali lagi," kata Bagnaia memetik laporan Motorsports.
"Kami bergerak ke pusingan seterusnya dengan keyakinan dan mengetahui di litar-litar ini saya amat laju.
"Buriram dan Malaysia sesuai dengan gaya tunggangan saya dan saya fikir saya boleh menjadi kuat, ini adalah dua litar di mana saya lebih laju berbanding di sini (Australia)."
Bagnaia berkata, dia sedar kehadirannya di Phillip Island mencipta kemungkinan besar untuk terus kehilangan mata.
"Kami cuba untuk mengelaknya tetapi ia tidak mencukupi. Benar kami sentiasa mendapat keputusan yang baik di sini, tetapi saya tidak pernah selaju seperti di Motegi dan beberapa litar lain," kata pelumba Itali itu.
"Di Buriram kami mempunyai kemungkinan yang baik untuk bersaing sekali lagi. Tahun lalu Jorge menang tetapi ayuh kita lihat apa yang berlaku pada tahun ini."
Jika berpandukan kepada keputusan tahun lalu, Bagnaia terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Martin di Thailand.
Di Malaysia, Bagnaia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada perlumbaan utama dengan Martin keempat namun pada perlumbaan Sprint, Martin di tempat kedua dengan Bagnaia ketiga.