PECCO Bagnaia Pelik Aksi Sprint Tak Sebagus Perlumbaan MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/4/20241 min read

JUARA perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2024, Francesco Bagnaia percaya 'pertarungannya' dengan Jorge Martin adalah antara 'persembahan' terbaik terutama buat peminat kejuaraan itu.

Pelumba Ducati Lenovo itu berjaya menghalang Martin dari Pramac Ducati mengesahkan gelaran dunia lebih awal apabila menamatkan perlumbaan sebagai pemenang.

Tetapi situasi masih tidak memihaknya dengan kelebihan yang dimiliki Martin masih cukup besar, 24 mata menuju pusingan terakhir yang lokasinya masih belum ditentukan setakat ini.

"Saya fikir kami memberikan peminat di laman sendiri dan di sini persembahan yang baik," kata Bagnaia.

"Jorge amat agresif tetapi pertarungan kami amat bersih, kami tidak pernah bersentuhan. Saya hanya menunggu masa saya untuk menyerang. Saya tahu kepantasan yang saya ada cukup untuk membuka jurang.

"Sejurus saya melakukannya, saya berharap untuk melihat Enea (Bastianini) atau Marc (Marquez) untuk memintasnya (Martin) atau mengambil mata kejuaraan."

Bagnaia berkata, dia tidak memahami mengapa mereka mampu beraksi dengan cukup baik ketika perlumbaan utama namun sering berdepan situasi tidak sepatutnya pada aksi Sprint.

"Kepantasan yang kami ada amat kompetitif, seperti yang sering berlaku pada perlumbaan Ahad pada tahun ini," kata Bagnaia.

"Jorge melakukan segala yang dia mampu untuk kekal di depan saya pada awal perlumbaan, tetapi saya merasa amat selesa dengan jentera saya dan mampu untuk menjadi lebih agresif.

"Satu-satunya masalah adalah kepantasan kami lebih kuat berbanding pencabar kami tetapi ia jelas tidak memihak kami. Kami perlu memahami mengapa kami tidak boleh dengan prestasi sebagus ini ketika perlumbaan Sprint.

"Ini adalah perkara yang kami perlu bekerja dengan lebih keras selepas ini, tetapi sekarang kami perlu fokus untuk pada pusingan terakhir musim ini dan cuba melakukan yang terbaik.

"Ini adalah kemenangan ke-10 kami pada musim ini dan ia membuktikan betapa bagusnya kerja yang kami sudah lakukan pada tahun ini."