PECCO Bagnaia Percaya Jurang Dengan Adik Beradik Marquez Dah Dekat
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/16/20251 min read


PERLUMBAAN Sprint Grand Prix (GP) Argentina 2025 menyaksikan Francesco Bagnaia sekali lagi tidak berjaya menghalang dominasi adik beradik Marquez yang diketuai rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez.
Seperti di Thailand, pelumba kelahiran Itali itu terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga buat kali ketiga berturut-turut dengan Marc muncul juara dan Alex di tempat kedua.
Dan sekali pun naib juara MotoGP musim lalu itu melepasi garisan penamat hampir empat saat di belakang Marc, juara dunia MotoGP dua kali itu berkata jurang dengan duo Sepanyol itu sudah dirapatkan.
"Saya sentiasa sukar untuk mentafsirkan litar ini. Saya tidak pernah berjaya untuk menampilkan potensi keseluruhan kami dan sentiasa bergelut," kata Bagnaia menerusi media sosialnya.
"Atas alasan itu kedudukan ketiga hari ini memberikan saya lebih keyakinan berbanding dengan Sprint di Thailand, sekali pun keputusannya adalah sama.
"Kami berjaya merapatkan jurang sedikit berbanding Marc dan Alex tetapi kami masih memerlukan sesuatu yang lebih lagi untuk merapatkan diri dengan mereka. Saya mengenalpasti dua perkara di atas trek di mana kami boleh meningkat."
Bagnaia yang tidak pernah menamatkan perlumbaan di Termas de rio Hondo sebelum ini dalam kelompkm tiga terbaik dalam pada itu menjelaskan kepada media di mana dia kehilangan masa di trek berkenaan.
"Ada tempat yang jelas di mana kami kehilangan masa, terutama sekali di selekoh enam dan 11, dan kini kami perlu melakukan satu lagi langkah ke depan menjelang perlumbaan utama, tetapi kami kekal tenang dan utuh."
Sekalipun mengakui jurang semakin dekat, ironinya daripada ketiga-tiga perlumbaan yang berlangsung musim ini, jurang masa yang dicatatkan Bagnaia di Argentina paling besar.
Pada Perlumbaan Sprint di Buriram, Bagnaia melepasi garisan penamat 3.423 saat (s) di belakang Marc diikuti Perlumbaan GP (2.398s) dengan jurang di Argentina adalah 3.859s.
