PECCO Bagnaia Perjelas Komen Dah 'Hilang Sabar'

Komen Bagnaia timbul mengikuti kenyataan Pengurus Besar Ducati Corse yang menyifatkan perlumbaan diharungi Bagnaia sebagai 'mengecewakan' sambil menambah bahawa 'setiap perlumbaan yang berlalu adalah satu peluang yang disia-siakan untuk memperbaiki diri.'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/21/20252 min read

Francesco Bagnaia
Francesco Bagnaia

PELUMBA Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia menjelaskan maksud kenyataan 'hilang sabar' yang dibuat selepas Grand Prix (GP) Austria 2025 sambil menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Ducati.

Selepas mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut di Red Bull Ring sebelum ini, pelumba kelahiran Itali itu mengharungi kempen yang sukar di Austria yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan utama di tempat ke-8.

Ketika ditemui media, Bagnaia menjelaskan dia sudah kehilangan sabar terhadap Ducati untuk mencari jalan penyelesaian bagi memperbaiki isu yang dihadapinya bersama jentera Ducati GP25.

Kenyataan itu timbul mengikuti komen daripada Pengurus Besar Ducati Corse yang menyatakan perlumbaan yang diharungi Bagnaia sebagai 'mengecewakan' sambil menambah bahawa 'setiap perlumbaan yang berlalu adalah satu peluang yang disia-siakan untuk memperbaiki diri.'

Sekalipun sudah beberapa kali meluahkan kekecewaannya sebelum ini, tetapi apa yang berlaku di Austria buat pertama kali meningkatkan ketegangan antara Bagnaia dan Ducati.

Tetapi menjelang Pusingan ke-14 di GP Hungary 2025, pelumba itu menjelaskan maksud komennya itu.

"Masalah saya, kesilapan saya, adalah sentiasa bercakap tanpa berselindung dengan sesiapapun," kata Bagnaia. "Dan kadang kala ia bagus, kadang kala tidak.

"Dan apabila kamu menamatkan perlumbaan, perlumbaan yang bencana, seperti di Austria, gugup dan marah, kamu tidak di sini untuk bercakap dengan semua wartawan yang bertanya 'Apa masalah kamu', kamu kehilangan lebih banyak kesabaran.

"Dan kadang kala kamu melakukan kenyataan yang salah. Jadi, tiada masalah langsung dengan pasukan.

"Saya bercakap dengan semua orang. Kami berada dalam kapal yang sama, cuba untuk memperincikan situasi. Ia tidak mudah bagi mereka, terutama untuk mereka yang cuba untuk memberikan saya apa yang saya mahukan.

"Tetapi selepas tujuh bulan sejak daripada awal musim dan saya sentiasa bergelut dengan perkara yang sama, kamu perlu mengubah sesuatu. Saya tidak tahu apa, tetapi jelas yang saya sentiasa perlahan berbanding tahun lalu, semua orang lebih perlahan berbanding catatan sepusingan yang kami buat tahun lalu.

"Jadi kami perlu memahami kenapa, apa yang saya maksudkan Ducati dan memahami apa yang perlu dibuat."

Bagnaia berkata apa yang berlaku di Austria adalah yang paling teruk buatnya pada musim ini.

"Saya sentiasa amat kompetitif (di Austria), mungkin yang paling kompetitif bagi saya, dari sudut kemenangan dan jurang. Dan pada musim ini, tidak berjaya untuk memberikan saingan dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-8, melihat semua jentera memintas saya dengan amat mudah, ia agak aneh dan kamu berfikir mengenainya sebelum ini, memahami apa yang berlaku dan cuba sesuatu yang berbeza."