FRANCESCO Bagnaia menamakan tiga litar yang dipercayai mampu memberi kelebihan kepadanya dan Ducati Lenovo berbanding pencabar utamanya Pramac Ducati dengan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS turut tersenarai.
Bagnaia ketika ini ketinggalan 21 mata daripada pendahulu yang juga pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin berbaki lima pusingan dimulakan dengan Motegi, Jepun minggu ini.
Ia diikuti GP Australia, Thailand, Malaysia sebelum kempen 2024 menutup tirainya di Valencia, Sepanyol.
Berbanding kepada situasi tahun lalu, Bagnaia memiliki kelebihan 18 mata pada tempoh yang sama sebelum berjaya menjulang gelaran dunia kedua MotoGP kariernya di Valencia.
Begitupun, lokasi perlumbaan pada musim ini sedikit berbeza berbanding musim lalu dengan Lusail turut tersenarai dalam lima pusingan terakhir dengan tiga litar termasuk Sepang disifatkan Bagnaia mampu memberi kelebihan kepadanya.
"Saya fikir litar ini (Motegi) baik untuk kami, saya fikir Thailand dan Malaysia juga bagus untuk kami," kata Bagnaia memetik laporan Crash.net. "Jadi kami mempunyai tiga litar di mana kami amat kuat.
"Kemudian kami akan beraksi di Australia di mana Jorge amat kuat, dan pertarungan di antara kami boleh menjadi seimbang di lokasi seperti Thailand dan Valencia.
"Tetapi saya fikir kamo berada di situasi di mana kami perlu untuk menjadi lebih baik berbanding mereka. Dia (Martin) mempunyai lebih kawalan."
Ketika ini, Martin mengumpul keseluruhan 36y mata di puncak carta pelumba diikuti Bagnaia 345 mata.