PECCO Bagnaia Puji Enea Bastianini, 'Kerja Yang Menakjubkan'!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/16/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia berkata dia sudah melakukan apa yang sepatutnya dilaksanakan setakat ini di Grand Prix Barcelona 2024 iaitu memulakan perlumbaan di petak utama dan menjuarai Perlumbaan Sprint.

Kemenangan pelumba Ducati Lenovo itu menyaksikan Bagnaia berjaya menafikan pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati meraih gelaran dunia lebih awal dan terpaksa menunggu aksi terakhir.

Memulakan perlumbaan ketinggalan 24 mata di belakang Martin, Bagnaia kini merapatkan jurang itu kepada hanya 19 mata dan ia turut 'dibantu' kecemerlangan rakan sepasukannya, Enea Bastianini.

"Saya berharap ada lebih ramai di antara saya dan Martin, tetapi kami mengetahui potensi kami ketika ini dan juga sepanjang musim, malah sekalipun salah seorang daripada kami bermasalah, kami menamatkan perlumbaan di tempat kedua kerana kami di tahap yang berbeza," kata Bagnaia.

"Jadi saya fikir Enea melakukan kerja yang amat bagus pada hari ini. Tetapi untuk esok, saya memerlukan sesuatu yang lebih sekali lagi."

Untuk menghalang Martin daripada bergelar juara, Bagnaia perlu memenangi perlumbaan GP esok dan berharap pencabarnya itu menamatkan perlumbaan di bawah kedudukan ke-9.

Dan situasi itu dikatakan bakal memberikan tekanan kepada Martin, bukan dirinya, kata Bagnaia.

"Daripada sudut saya, tidak. Tetapi dia, ya," kata pelumba kelahiran Itali itu. "Saya masih mengingati dengan jelas pada 2022 (apabila Bagnaia memiliki kelebihan 23 mata) dan saya fikir Jorge berdepan sedikit tekanan.

"Saya melihatnya sepanjang minggu, dia agak gemuruh dan ia adalah perkara yang normal. Tetapi saya fikir apabila dia berlumba, dia boleh menguruskan situasi dengan baik.

"Dia melakukan kerja yang amat bagus hari ini, dia menguruskan situasi untuk bermula di barisan kedua dan menamatkan perlumbaan di podium. Jadi saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang sulit buatnya," kata Bagnaia yang akan menukar penggunaan kompaund tayarnya esok.