PECCO Bagnaia Rangkul Kemenangan Berganda Di Jepun, Acosta Jatuh Lagi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/6/20242 min read

FRANCESCO Bagnaia terus memberikan tekanan kepada pendahulu kejuaraan MotoGP, Jorge Martin dengan menjuarai perlumbaan Grand Prix Jepun 2024 yang menyaksikan Pedro Acosta sekali lagi terjatuh di Motegi.

Kemenangan menyaksikan Bagnaia dari Ducati Lenovo berterusan mencantas kelebihan Martin di puncak carta kejuaraan kepada 10 mata, mengikuti kemenangan pada Perlumbaan Sprint, semalam.

Pelumba Pramac Ducati, Martin begitupun tidak membiarkan Bagnaia untuk selesa apabila meraih tempat kedua.

Dan keputusan yang diraih Martin berjaya diperoleh sekalipun terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-11 dengan Marquez turut memulakan perlumbaan di petak ke-9.

Juara dunia lapan kali, Marc Marquez melengkapkan kedudukan podium mengikuti keputusan yang diperoleh pada Perlumbaan Sprint.

Begitupun paling malang pastinya pelumba GasGas Tech3, Acosta yang terjatuh ketika berada di posisi kedua seawal pusingan ketiga perlumbaan.

Seperti Perlumbaan Sprint, Bagnaia yang memulakan perlumbaan di petak ke-4 memperoleh permulaan terbaik apabila memintas kesemua pelumba di depannya untuk memimpin perlumbaan seawal selekoh kedua.

Sekalipun terjatuh, Acosta bangkit untuk meneruskan perlumbaan namun terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas pusingan ke-15.

Turut menamatkan mengalami kemalangan adalah Maverick Vinales (Aprilia), Augusto Fernandez (Tech3), Alex Marquez (Gresini) dan Joan Mir (Honda) manakala pelumba gantian Trackhouse, Lorenzo Savadori berdepan masalah jentera.

Bagi Bagnaia, kemenangan di Motegi adalah kemenangan ke-8 buatnya musim ini.

Sebagai rekod, hanya Marquez, Jorge Lorenzo, Casey Stoner dan Valentino Rossi berjaya merangkul kemenangan sebanyak itu dalam tempoh semusim.

Sementara itu, Bastianini terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di luar podium di tempat ke-4 dengan Ducati melengkapkan kedudukan lima terbaik menerusi Franco Morbidelli (Pramac Ducati).

Pelumba terbaik bukan Ducati diraih pelumba Red Bull KTM, Brad Binder dan pelumba pasukan Jepun terbaik dirangkul pelumba LCR Honda, Johann Zarco.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Jepun 2024

  1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), 42m 9.79s

  2. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +1.189s

  3. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +3.822s

  4. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +4.358s

  5. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +17.940s

  6. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +18.502s

  7. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +19.371s

  8. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +20.199s

  9. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +30.442s

  10. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +31.184s

  11. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +31.567s

  12. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +32.299s

  13. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +33.003s

  14. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +35.974s

  15. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +39.321s

  16. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +40.839s

  17. Remy Gardner (AUS) Monster Yamaha (YZR-M1), +59.547s

Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, DNF

Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), DNF

Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), DNF

Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Racing (RS-GP24), DNF

Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), DNF

Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF