PECCO Bagnaia Selamat Jalani Pembedahan
Pecco Bagnaia yang juga juara dunia MotoGP 2 kali itu tercampak daripada jenteranya apabila pelumba pasukan Gresini, Fermin Aldeguer gagal mengawal tunggangan ketika membrek merempuhnya di selekoh terakhir pada pusingan pembukaan perlumbaan di Litar Lusail
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/11/20261 min read


DUCATI Lenovo mengesahkan pelumbanya, Pecco Bagnaia selamat menjalani pembedahan pada kaki kanannya susulan kemalangan ngeri ketika perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Qatar 2026, hujung minggu lalu.
Juara dunia MotoGP 2 kali itu tercampak daripada jenteranya apabila pelumba pasukan Gresini, Fermin Aldeguer gagal mengawal tunggangan ketika membrek di selekoh terakhir pada pusingan pembukaan perlumbaan di Litar Lusail.
Insiden yang memaksa perlumbaan dihentikan seketika dengan kibaran bendera merah itu menyaksikan Bagnaia diusung keluar oleh marsyal, sebelum disahkan mengalami pelbagai keretakan pada kaki kanannya dan terlepas aksi perlumbaan utama.
Ducati Lenovo dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan, pembedahan bagi merawat keretakan berganda membabitkan tulang metatarsal ke-4 dan ke-5 itu berjaya dilakukan di Klinik Humanitas Cellini, Turin pada Selasa.
"Pasukan perubatan yang diketuai oleh Dr Luigi Milano berjaya memasang plat pada tulang metatarsal keempat kaki kanannya. Pelumba itu akan memulakan proses pemulihan secepat mungkin," kata kenyataan itu.
Begitupun, Ducati belum dapat menetapkan sebarang garis masa yang tepat mengenai tarikh kepulangan pelumba Itali itu ke litar, memandangkan ia bergantung sepenuhnya kepada tahap kemajuan pemulihannya dalam beberapa hari akan datang.
Nasib malang itu nyata merentap rentak cemerlang Bagnaia di Qatar yang sebelum itu berjaya melayakkan diri ke sesi kelayakan Q2, bermula dari petak ke-5, malah sempat mencabar kedudukan podium pada awal perlumbaan Sprint.
Susulan insiden itu, Komisioner FIM mengenakan penalti 'double long lap' ke atas Aldeguer ketika perlumbaan dimulakan semula, biarpun pelumba Sepanyol itu mendakwa dia tidak melakukan aksi di luar kawalan.
Kecederaan ini pastinya memberi tamparan suram buat Bagnaia memandangkan dia hanya mempunyai baki 2 perlumbaan sahaja lagi bersama skuad pengeluar dari Itali itu sebelum berhijrah ke pasukan Aprilia pada musim hadapan.
Berkongsi mengenai keadaannya di laman Instagram, Bagnaia berkata: "Malangnya, kadang-kadang walau sekeras mana pun kita mencuba, ia tidak menyebelahi kita. Saya minta maaf dan mahu mengambil sudut positif dari hujung minggu ini. Terima kasih atas mesej anda, saya okey."

