PECCO Bagnaia Seperti 'Menunggang Dengan Motivasi Yang Hilang'
Juara dunia dua kali MotoGP, Francesco Bagnaia mengharungi kempen terburuknya bersama Ducati Lenovo selepas hanya berjaya mencatat satu kemenangan pada musim ini berbanding 11 pada tahun lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/25/20251 min read


BOS VR46 Ducati, Uccio Salucci berkata data yang diperoleh daripada jentera Pecco Bagnaia pada musim ini membuatkannya seperti dia 'kehilangan sedikit motivasinya'.
Juara dunia dua kali MotoGP itu mengharungi kempen terburuknya bersama Ducati Lenovo selepas pelumba Itali itu hanya berjaya mencatat satu kemenangan pada musim ini berbanding 11 pada tahun lalu.
Dan Grand Prix (GP) Hungary 2025 jelas paling sukar buat anak didik legenda Itali, Valentino Rossi ini apabila dia gagal meraih sebarang mata pada Perlumbaan Sprint dan tempat ke-9 pada perlumbaan utama.
Ketika ini, dia hanya mengumpul 227 mata di belakang rakan sepasukannya Marc Marquez yang terus cemerlang apabila merangkul kemenangan ke-7 berturut-turut dengan kejayaan di Balaton Park.
"Sukar untuk bercakap mengenai apa yang berlaku, saya tidak berada di garajnya," kata Salucci kepada TNT Sports. "Tetapi apapun, saya bercakap dengannya (selepas Perlumbaan Sprint) dan bercakap, 'tolonglah Pecco, Forza', kerana kadang kala saya menyemak datanya, dia tidak melakukan brek, dia tidak menunggang dengan cara yang betul sekarang.
"Ia nampak seperti dia kehilangan sedikit motivasi, juga keyakinan dengan jentera. Dan perkara yang pertama adalah menunggang semula seperti Pecco Bagnaia, menikmatinya lebih sedikit.
"Saya tahu ia tidak mudah, tetapi tolonglah Pecco, cuba, cuba, kerana dia adalah juara dunia dua kali MotoGP dan sudah tentu pelumba yang menakjubkan. Tidak bagus melihat Pecco seperti ini. Saya tidak menyukainya."
Mengulas lanjut, Salucci berkata dia memahami kesukaran yang dihadapi Bagnaia dengan Ducati GP25 kerana ia agak mirip pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio.
Malah dia juga percaya kesukaran Bagnaia adalah disebabkan Marquez sudah biasa dengan jentera yang sukar dikendalikan terutama di bahagian depan iaitu Ducati GP23 pada musim lalu sebelum menunggang Ducati GP25 musim ini.
"Sudah tentu apabila Marquez tiba, jentera 2025 bukan jenteranya, terutama di awal musim kerana bahagian depan jentera tidak memberikan banyak perkara yang baik kepada Pecco, dan juga Di Giannantonio," katanya.
"Tetapi pasukan kami mula bekerja, Fabio kekal tenang dan kami memperolehnya sepantas mungkin."
