PECCO Bagnaia Seronok 'Lawan' Marc Marquez Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/29/20242 min read

FRANCESCO Bagnaia mengakui 'seronok' dengan pertarungan diharunginya dengan juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez yang menyaksikan kedua-duanya berpotensi jatuh ketika Grand Prix (GP) Sepanyol, semalam.

Bintang pasukan 'kilang' Ducati, Bagnaia dan Marquez (Gresini Ducati) bersaing sengit memburu kemenangan di penghujung saingan di Jerez selepas pendahulu kejuaraan, Jorge Martin terjatuh.

Menunggang jentera Ducati GP23, Marquez berjaya mencantas jurang 1.2 saat yang diperoleh Bagnaia (GP24) di penghujung perlumbaan yang menyaksikan kedua-duanya akhirnya bersentuhan.

Disebalik tekanan berterusan Marquez, Bagnaia yang juga penyandang juara berjaya mengekalkan ketenangannya untuk melintasi garisan penamat sebagai juara.

Bagnaia dan Marquez ketika GP Portugal bulan lalu mencipta sensasi apabila kedua-duanya terjatuh ketika bersaing merebut tempat kelima namun kali ini, pelumba kelahiran Itali itu menyifatkan tindakannya sebagai bijak.

"Saya amat menikmati pertarungan itu," kata Bagnaia. "Sudah tentu, apabila kamu melawan Marc kamu tidak boleh merasa 'kecil' kamu kerana pertarungannya memang sengit.

"Sejujur-jujurnya, ia satu-satunya tempat saya mampu mempertahankannya kerana saya tahu dengan jelas yang dia amat kuat pada selekoh tujuh dan lapan dan saya mengetahui yang dia merapatkan jurang pada setiap pusingan.

"Tetapi saya amat bagus ketika memasuki selekoh sembilan. Jadi saya berkata kepada diri saya, 'Ok, saya tidak akan mengambil risiko pada selekoh lapan tetapi akan cuba melakukan brek dengan keras di selekoh sembilan untuk mendapatkan sedikit kelebihan.

"Dan saya tahu jika saya melakukan brek dengan kuat, dia sudah tentu akan pergi sedikit lebar. Dan saya hanya menggunakan perkara itu untuk menutup ruang dan berada di depan sekali lagi.

"Apabila kamu bertarung seperti ini, kamu perlu meletakkannya dalam senarai yang kamu mungkin akan bersentuhan. Saya fikir ia agak lancar dan bijak, kerana saya berada di dalam.

"Dia hanya cuba untuk mengelilingi saya, tetapi sejurus kami tiba di 'puncak' kami akan bersentuhan. Dia mengangkat (jentera) sedikit, saya hanya perlu merebahkan badan lebih sedikit kerana jika saya bangkit juga, saya akan pergi ke arah yang berbeza. Jadi ada sentuhan tetapi dalam cara yang bijak."

Mengulas lanjut pertarungannya dengan Marquez, Pecco berkata dia langsung tidak berfikir untuk menamatkan perlumbaan di tangga kedua.

"Terlalu awal untuk mula berfikir mengenainya (kejuaraan) tetapi sejurus Jorge jatuh, saya merasa lebih baik dengan jentera dan mula memberi tekanan dan kehilangan masa sedikit.

"Jadi, tidak, saya tidak pernah berfikir mengenai mengalah dan rela dengan tempat kedua. Saya bukan lelaki seperti itu dan gemar untuk mengalah."

Selepas empat pusingan MotoGP, Bagnaia yang turut memenangi perlumbaan di Qatar ketika ini hanya dibezakan 17 mata dengan pendahulu Martin.