FRANCESCO Bagnaia menjelaskan dia langsung tidak memikirkan 'tekanan' daripada Marc Marquez ketika pelumba Gresini Ducati itu berada di belakangnya ketika Perlumbaan Sprint GP Austria 2024.
Pada aksi di Red Bull Ring itu, Bagnaia yang menjuarai Perlumbaan Sprint keempatnya musim ini mendahului hampir keseluruhan perlumbaan dengan tekanan diberikan daripada Jorge Martin dan Marquez.
Selepas tekanan daripada Martin kendur susulan penalti yang dikenakan kepada pelumba Pramac Ducati itu, Marquez mengambil alih kedudukan kedua dan berjaya menghambat Bagnaia sehingga hanya dibezakan 0.3 saat pada satu ketika.
Dan ketika persaingan tampak menjadi semakin menarik, juara dunia lapan kali itu melakukan kesilapan dan terjatuh ketika perlumbaan berbaki lima pusingan sekaligus memberikan kemenangan selesa kepada Bagnaia.
Ketika ditanya mengenai tekanan yang diberikan oleh Marquez ketika itu, Bagnaia memetik laporan MotoGP.com berkata: "Sejujur-jujurnya, saya mengawal keadaan dengan baik.
"Saya dapat melihatnya (Marquez) merapatkan jurang sedikit, hanya 0.3 saat, tetapi sejurus saya melihatnya, saya hanya cuba untuk menguatkan tekanan saya lagi, dan dia terjatuh.
"Saya langsung tidak berfikir untuk bersaing dengan Marc hari ini. Saya akan cuba untuk menggunakan pemetaan yang berbeza untuk perlumbaan esok (hari ini)," katanya.
Mengulas lanjut, Bagnaia mengakui keadaan cuaca yang amat panas di Red Bull Ring turut memainkan peranan terutama membabitkan pilihan tayar.
"Lebih pada litar ini kerana keadaan sudu amat panas," kata Bagnaia. "Dan kami perlu menggunakan tayar jenis medium, tayar yang tak cukup keras untuk keadaan seperti ini, tetapi ia lebih baik berbanding keras.
"Jadi ia lebih kritikal, tetapi ia berlaku kepada semua orang."
Kemenangan pada Perlumbaan Sprint meletakkan Bagnaia sebagai pendahulu carta kejuaraan MotoGP 2024 selepas mengumpul keseluruhan 250 mata dan menariknya, hanya dibezakan menerusi jumlah kemenangan dengan Martin.