PECCO Bagnaia Takluk Aksi Sprint Di Sepang, Alex Marquez Sah Naib Juara Dunia MotoGP 2025
Selepas bergelut untuk mencatatkan masa terbaik pada hari pembukaan GP Malaysia semalam sehingga terpaksa mengharungi Kelayakan 1 (Q1), Bagnaia cipta kebangkitan dengan meraih petak utama sebelum meraih kemenangan bergaya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/25/20251 min read
FRANCESCO Bagnaia membuktikan kebangkitan yang dilakukan ketika sesi Kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 bukan sekadar nasib apabila menjuarai Perlumbaan Sprint dan dilakukan dengan penuh bergaya, hari ini.
Bergelut untuk mencatatkan masa terbaik sehingga terpaksa mengharungi Kelayakan 1 (Q1), pelumba Ducati Lenovo menunjukkan yang layak ke Q2 bukan masalah sebelum mencatatkan masa terpantas sesi Q2 dan meraih petak utama.
Dan juara dunia dua kali MotoGP itu kemudian tampil dengan dominasi penuh apabila memimpin perlumbaan sejak awal sehingga garisan penamat 2.259 saat di depan pencabar terdekatnya, Alex Marquez yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Rakan sepasukan Alex di Gresini Ducati, Fermin Aldeguer melengkapkan kedudukan podium namun keputusan itu ditarik susulan penalti dengan pelumba yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-4, Pedro Acosta meraih kedudukan berkenaan.
Bagi Alex, kedudukan kedua cukup untuk mengesahkan kedudukannya sebagai naib juara keseluruhan MotoGP musim 2025 - pencapaian terbaiknya dalam kariernya pada perlumbaan kelas perdana itu setakat ini.
Tempat keempat menjadi milik pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo (Monster Yamaha) keenam.
Pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi bangkit daripada petak ke-14 untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
Tempat kelapan menjadi milik pelumba LCR Honda, Johann Zarco dengan Enea Bastianini (Tech3 KTM) meraih tempat ke-9 yang juga penamat terakhir yang meraih mata.

