PECCO Bagnaia Timbang Kembali Tunggang Ducati GP24

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/18/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia selepas mengharungi kempen sukar di Grand Prix (GP) Argentina membuat kejutan dengan mengakui mungkin akan kembali menunggang jentera yang menjadikannya naib juara dunia MotoGP musim lalu, Ducati GP24.

Tidak seperti rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez yang menjuarai keempat-empat perlumbaan yang dipertandingkan setakat ini, Bagnaia sekadar mengisi kedudukan ketiga dalam tiga perlumbaan.

Dan perlumbaan ke-4 di GP Argentina menyaksikannya terkeluar daripada kedudukan podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-4.

Selain Marquez yang menunggang jentera yang sama sepertinya, Ducati GP25, Bagnaia turut tidak berjaya mengatasi pelumba yang menggunakan Ducati GP24, Alex Marquez.

Seperti abangnya, Alex menamatkan keempat-empat perlumbaan di tempat ke-2 dan pelumba yang meraih tempat ke-3 GP Argentina, Franco Morbidelli dari VR46 Ducati turut menunggang Ducati GP24.

Ducati sebelum ini membuat keputusan untuk memadankan Ducati GP25 dengan enjin daripada GP24 dan turut menangguhkan penggunaan pakej aerodinamik GP25 sehingga ujian di Jerez, Sepanyol pada bulan depan.

Begitupun, ia tidak bermakna Ducati GP25 dan GP24 adalah sama dengan kedua-duanya dipadankan dengan pelbagai komponen berbeza yang berkemungkinan tidak 'serasi' dengan Bagnaia.

"Kami bergerak ke depan sepanjang minggu," kata Bagnaia memetik laporan es.motorsport.com di Argentina. "Tetapi saya masih kehilangan sesuatu, seperti kawalan tayar belakang, dan ia aneh jika menimbangkan yang jentera ini mirip pada tahun lalu.

"Mungkin bermula pada perlumbaan seterusnya saya akan kembali menunggang Ducati GP24 kerana ketika ini perasaan saya amat aneh. Kami perlu terus bekerja, tetapi kami perlu menyelesaikan masalah ini."

Kegagalan untuk berada di podium pada perlumbaan GP Argentina turut menyaksikan Bagnaia buat kali pertama terkeluar daripada kelompok tiga terbaik itu sejak GP Amerika Syarikat tahun lalu.

Bagnaia dengan menunggang GP24 pada tahun lalu memenangi 11 daripada 20 perlumbaan GP namun masih gagal menjulang gelaran dunia selepas lapan kali menamatkan perlumbaan tanpa sebarang mata.

"Saya menjangkakan sesuatu yang lebih daripada saya, tetapi sejak daripada permulaan perlumbaan saya bergelut untuk mencari rentak," kata Bagnaia. "Benar saya berada tidak begitu jauh dengan mereka berdua di depan.

"Tetapi ia cukup untuk mereka menjarakkan diri kerana saya juga kehilangan masa bersaing dengan Johann Zarco dan Franco Morbidelli.”