PECCO Bagnaia Yakin Dapat Saingi Marc Marquez Hingga Hujung Musim

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/24/20251 min read

FRANCESCO Bagnaia percaya dia mampu bersaing dalam perebutan kejuaraan dunia MotoGP bersama rakan sepasukannya di Ducati Lenovo, Marc Marquez sehingga pusingan penutup musim di Valencia.

Juara dunia dua kali MotoGP itu dikatakan berdepan cabaran sukar dalam kariernya untuk menjulang gelaran ketiganya dengan kelibat Marquez.

Selepas empat pusingan musim 2025 berlangsung, Marquez jelas berada di depan Bagnaia apabila memenangi keempatn-empar Perlumbaan Sprint dan tiga perlumbaan utama yang ditawarkan.

Sebaliknya, Bagnaia tampak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera Ducati GP25 namun berjaya memenangi satu perlumbaan di Amerika Syarikat tetapi 'dibantu' kemalangan yang dihadapi Marquez ketika sedang memimpin perlumbaan.

"Saya tahu Marc mungkin pelumba paling kompetetif, jadi pada tahun lalu dia mengadaptasi dengan situasi, dia melakukan kerja yang amat baik," kata Bagnaia kepada TNT Sport.

"Musim ini dia memulakan kempen di puncak. Jadi sudah pasti ia akan sedikit berbeza tetapi kami boleh memberikan saingan yang hebat sehingga Valencia.

"Saya fikir sejurus saya memperoleh semula perasaan saya untuk kembali ke puncak, kami akan bertarung dan ia sudah pasti akan menyeronokkan."

Bagnaia pada tahun lalu berdepan situasi perit apabila kalah dalam pertarungan merebut gelaran dunia kepada pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin disebalik 11 kemenangan yang diperoleh dalam perlumbaan GP.

Mengulas situasi dihadapinya musim ini, Bagnaia berkata: "Ia aneh, kerana kami tahu apa masalahnya, dia sukar untuk diselesaikan. Saya tahu yang kami berpotensi untuk kembali tetapi saya tidak tahu bila.

"Jadi apa yang perlu dibuat adalah terus bekerja seperti kami lakukan bersama pasukan dan apabila kami tiba di Austin saya faham yang sejak daripada sesi pertama perasaannya meningkat dengan banyak.

"Dan saya juga berpeluang untuk bersaing dari sudut kelajuan dengan kekuatan yang penuh dan Austin adalah satu kelegaan dan saya amat menikmatinya."