PECCO Beri Bayangan Sertai Suzuka 8 Hours Musim Depan?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/23/20241 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia memberi bayangan dia ingin mengikuti jejak mentornya, Valentino Rossi beraksi perlumbaan 'enduran' berprestij Suzuka 8 Hours.

Suzuka 8 Hours musim ini berjaya dimenangi trio Honda yang turut dibarisi pelumba MotoGP, Johann Zarco pada Ahad lalu.

Zarco yang bergandingan bersama pelumba Jepun, Takumi Takahashi dan Teppei Nagoe beraksi buat pertama kali di perlumbaan berkenaan.

Ducati mempunyai wakil bagi edisi ke-45 perlumbaan itu menerusi pasukan Ducati Team Kagayama yang turut disertai pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah namun ia bukanlah pasukan berstatus 'kilang' seperti disertai Zarco.

Begitupun, pasukan itu masih boleh dianggap sebagai pasukan 'rasmi' Ducati kerana ia mendapat sokongan daripada pengeluar Itali itu dan turut disertai bos Ducati Corse, Paolo Ciabatti.

Menggunakan jentera Ducati Panigale V4 R, pasukan itu hampir meraih kedudukan podium namun terpaksa berpuas hati menamatkan aksi di tempat keempat.

Dan gambar Ciabatti bersama-sama pelumba pasukan Ducati Team Kagayama mendapat maklum balas 'menarik' daripada pelumba Itali itu yang ketika ini sedang memimpin carta kejuaraan.

"Mempersiapkan segala-galanya dengan baik, saya akan datang kemudian," kata juara dunia MotoGP dua kali itu yang baru saja melangsungkan perkahwinan.

Prospek kehadiran Bagnaia beraksi di Suzuka 8 Hours pasti sesuatu yang mengujakan dan kehadirannya pasti bersama pasukan yang mendapatkan sokongan 'kilang' Ducati.

Setakat ini, tiada pengeluar selain daripada jenama Jepun berjaya memenangi Suzuka 8 Hours dengan Honda memenanginya buat kali ke-30 sepanjang 45 edisi kejohanan.

Selain Rossi yang pernah memenangi gelaran berkenaan pada edisi 2001 bersama Colin Edwards, antara legenda lain yang pernah memenangi Suzuka 8 Hours adalah seperti Wayne Rainey (1988), Eddie Lawson (1990) dan Mick Doohan (1991).