PECCO Dedah Kenapa Ducati 'Mengganas' Pada 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/5/20241 min read

DUCATI menang tujuh daripada lapan perlumbaan MotoGP yang sudah berlangsung pada musim ini dengan lima daripadanya dimenangi Francesco Bagnaia dan dua dirangkul oleh Jorge Martin.

Untuk Perlumbaan Sprint, pengeluar Itali itu menang lima, masing-masing tiga daripada Martin dan dua daripada Bagnaia dengan baki tiga perlumbaan berjaya dimenangi Aprilia.

Aprilia menerusi Maverick Vinales berjaya menafikan dominasi Ducati di GP Portugal dan GP Amerika Syarikat manakala seorang lagi pelumbanya, Aleix Espargaro menang di Catalunya.

Selain dua pelumba yang menggunakan jentera spesifikasi 'kilang' bersama Ducati Lenovo dan Pramac Ducati itu, seorang lagi pelumba Ducati, Marc Marquez turut sentiasa menjadi ancaman sekalipun menunggang GP23.

Ketika ditanya mengenai mengenai dominasi Ducati menjelang GP Jerman 2024 di Sachsenring - lokasi Ducati merangkul kedua-dua kemenangan ditawarkan pada musim lalu menerusi Martin minggu ini - Pecco memberikan pendapatnya mengenai situasi berkenaan.

"Pelumba-pelumba terbaik dengan jentera terbaik menjadikannya lebih baik," kata Bagnaia. "Jerez juga adalah salah satu litar terburuk (buat Ducati), Misano juga salah satu terburuk, banyak lagi litar yang memberi kesukaran kepada jentera kami.

"Tetapi dengan kerja yang kami lakukan kami meningkat dengan banyak. Mengambil selekoh bukan lagi satu masalah ketika ini dan di litar seperti ini kamu perlu mengambil banyak selekoh.

"Apabila kamu meletakkan pelumba terbaik dengan jentera terbaik adalah normal tahapnya adalah lebih tinggi dan makin tinggi."

Ducati ketika ini menghuni kedudukan empat terbaik dalam carta kedudukan pelumba diketuai oleh Martin (200 mata), Bagnaia (190 mata), Marquez (142 mata) dan Enea Bastianini 136 mata.