PECCO Puji Marc Marquez, Bayangan Rakan Sepasukan Ducati Lenovo 2025?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/6/20241 min read

FRANCESCO Bagnaia setakat ini masih belum memiliki rakan sepasukan bagi kempen MotoGP musim depan tetapi pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu seakan memberi bayangan siapa yang akan mengisi 'kerusi' panas itu.

Selain pendahulu kejuaraan musim ini, Jorge Martin, dua lagi pelumba turut disenarai sebagai calon untuk mengisi posisi itu termasuk rakan sepasukan Bagnaia ketika ini, Enea Bastianini selain Marc Marquez.

Dan ketika ditanya mengenai prospek berkongsi kotak pit dengan Marquez, Bagnaia yang sudah beberapa kali bersaing sengit dengan juara dunia lapan kali itu termasuk di Jerez, baru-baru ini mengakui bekas pelumba Honda itu beradaptasi dengan baik dengan jentera Ducati.

"Dia (Marc Marquez) datang dengan pengalaman 11 tahun bersama jentera 'kilang' Honda, jadi dia memberi sesuatu nilai tambah dan dia dapat mengadaptasi dengan baik," kata Bagnaia memetik laporan GPOne.

"Tetapi ketika ini, kami sudah pun berada pada tahap yang amat tinggi dan amat memberi tumpuan kepada perincian."

Di Jerez, Bagnaia 'memenangi' persaingan sengit dengan Marquez yang menyaksikan sut lumba pelumba Sepanyol itu bersentuhan dengan tayar jenteranya.

Tetapi ketika di Portimao, Portugal, persaingan membabitkan kedua-duanya berakhir di kawasan batu kerikil.

Selepas menjulang Ducati dua kejuaraan dunia berturut-turut, Ducati jelas tidak mahu kehilangan bintangnya dan mengikatkan selama dua tahun bagi kempen 2025 dan 2026, baru-baru ini.

Selepas empat pusingan, Martin dari pasukan Pramac Ducati gah di persada carta kejuaraan diikuti Bagnaia dan Bastianini dengan ketiga-tiganya menunggang jentera spesifikasi terkini Ducati GP24.

Dan Marquez yang beraksi bersama pasukan satelit Ducati, Gresini Racing menghuni tangga ke-6 dan menjadi pelumba Ducati terbaik menggunakan jentera spesisikasi tahun lalu, GP23.