PECCO Sapu Bersih Kemenangan Di Assen, Martin Kedua
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/30/20241 min read


FRANCESCO Bagnaia membuktikan kepakarannya di Assen apabila menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix Belanda 2024 yang juga kemenangan hatriknya di gelanggang sama sejak 2022.
Dan pelumba bintang pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu sekali lagi melakukan perkara yang sama seperti Perlumbaan Sprint yang turut dimenanginya, semalam apabila mendahului sejak awal sehingga akhirnya.
Begitupun, Bagnaia terus dibayangi pendahulu kejuaraan, Jorge Martin yang sekali lagi menamatkan perlumbaan selaku naib juara.
Lebih menarik, pelumba pasukan satelit Pramac Ducati itu seperti tidak terkesan dengan penalti yang dikenakan kepadanya selepas terpaksa memulakan perlumbaan di petak keenam.
Malah pelumba yang akan menyertai Aprilia itu hanya memerlukan pusingan pertama untuk memintas Maverick Vinales dan kekal di posisi sama sehingga penamat perlumbaan.
Melengkapkan kedudukan podium adalah seorang lagi pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini yang terpaksa bekerja keras selepas memulakan perlumbaan di petak ke-10.
Pelumba yang akan menggantikan tempat Bastianini musim depan, Marc Marquez menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Tetapi pelumba pasukan Gresini Ducati itu dikenakan penalti atas kesalahan tekanan tayar rendah yang memaksanya jatuh ke kedudukan ke-10.
Keputusan itu menyaksikan pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio mengambil alih kedudukan sebagai pelumba Ducati GP23 terbaik di Assen di kedudukan keempat.
Pelumba yang mengisi kedudukan podium di Perlumbaan Sprint, semalam, Maverick Vinales turut dikenakan penalti yang menyaksikannya jatuh satu kedudukan untuk menamatkan perlumbaan di tangga kelima.
Brad Binder muncul pelumba KTM terbaik dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6 diikuti Alex Marquez (Gresini Ducati), Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia), Franco Morbidelli (Pramac Ducati) dengan Marquez melengkapkan kedudukan 10 terbaik.
Fabio Quartararo dari Monster Yamaha sekali lagi menjadi pelumba pengeluar Jepun terbaik di Assen selepas menamatkan perlumbaan di tangga ke-12.
Pelumba terbaik Honda menjadi milik pelumba LCR Honda, Johann Zarco di kedudukan ke-13.
Martin dalam pada itu terus mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu carta pelumba selepas mengumpul 200 mata dengan Bagnaia semakin menghampiri dengan 190 mata.
Pusingan 9 MotoGP 2024 selepas ini menuju ke Sachsenring untuk Grand Prix Jerman yang dijadual berlangsung minggu depan.
