'PECCO Tak Ucap Tahniah Kepada Saya'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/13/20241 min read

MARC Marquez mengesahkan tempatnya di Ducati Lenovo musim depan dan disebalik ribuan ucapan tahniah diterima, tiada kata-kata daripada bakal rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia.

Juara dunia lapan kali, Marquez mencipta sensasi apabila muncul 'pemenang' dalam pemburuan tiga penjuru membabitkan Jorge Martin dan Enea Bastianini untuk kerusi 'panas' di pasukan 'kilang' Ducati itu.

Pengesahan itu seperti dijangka mendapat reaksi pelbagai pihak dengan juara dunia Formula 1 (F1), Lewis Hamilton antara tidak sabar untuk melihat Marquez menggunakan sut lumba berwarna merah.

Ketika ditanya oleh media Sepanyol, AS sama ada Bagnaia ada menghubunginya atau mengucapkan tahniah, Marquez menjelaskan ia tidak berlaku.

"Tidak, tidak, tetapi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Ducati menghubungi saya dan mengucapkan tahniah," kata Marquez dalam keadaan tersenyum.

Penyandang juara dunia MotoGP, Pecco sebelum ini pernah menyatakan dia memilih rakan sepasukannya musim ini, Enea Bastianini sebagai pelumba pilihan untuk bergandingan dengannya musim depan.

Ditanya mengenai potensi wujud ketegangan di Ducati Lenovo berikutan kehadirannya, Marquez berkata situasi dalam 'box' pasukan musim depan pasti cukup menarik untuk dilihat.

"'Box' pasukan perlu tenang," kata Marquez. "'Perang' di atas litar, 'box' pasukan tenang," katanya.

Mengulas 'kemenangannya' untuk bergelar pelumba Ducati Lenovo, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui dia perlu menggunakan segala 'kelebihan' yang dimilikinya namun penilaian utama adalah adaptasinya terhadap jentera Ducati GP23.

"Ini adalah kehidupan, ini adalah sukan," kata Marquez. "Saya tidak gembira jika ada pelumba tersisih tanpa jentera.

"Dari sudut kerjaya, seseorang perlu pentingkan diri sendiri dalam banyak perkara, kerana semua orang mahukan yang terbaik.

"Dan yang terbaik adalah jentera dengan warna Merah, Ducati, salah satu jentera yang kami berjaya dapat. Kamu perlu menggunakan segala kelebihan yang kamu ada.

"Kelebihan yang paling utama adalah di litar dan juruter-jurutera Ducati, seperti yang mereka maklumkan kepada saya, adalah melihay kepada perkembangan saya dengan jentera 2023.

"Ia adalah perkara yang paling utama berbanding perkara lain. Dan ada juga beberapa faktor lain," katanya.