'PECCO' Terlalu Agresif Hanya Untuk Dua Mata - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/25/20241 min read

MARC Marquez menjelaskan tindakan Francesco Bagnaia - yang mengakibatkan kedua-duanya terjatuh ketika perlumbaan GP Portugal 2024, semalam sebagai satu kesilapan dan tidak berbaloi.

Susulan kemalangan itu, Steward MotoGP menjelaskan apa yang terjadi kepada Marquez dan Bagnaia di Portimao sebagai insiden perlumbaan dengan kedua-duanya tidak dikenakan hukuman.

Begitupun bagi Marquez yang berlumba bersama Gresini Ducati, apa yang dilakukan oleh Bagnaia (Ducati Lenovo) tak berbaloi terutama hanya untuk merebut tempat kelima.

"Bagi saya, ia adalah kesilapan daripada Pecco, bukan hanya insiden. Kerana pada akhirnya dia cuba untuk bangkit, yang juga amat optimistik tetapi sentuhan boleh berlaku," kata Marquez.

"Tetapi ia adalah satu kesilapan kerana kami bersaing untuk posisi ke-5, 6. Lebih dua mata, kurang dua mata.

"Dia (Pecco) banyak bergelut dengan tayar, terutama tayar belakang. Jadi pada akhirnya, apabila berbaki tiga pusingan, kami tahun yang kamu akan kehilangan posisi, jadi tidak perlu untuk cuba bangkit dengan mod yang agresif.

"Tetapi dia memutuskan untuk melakukan seperti ini. Akibatnya kepada Ducati adalah kosong mata," katanya.

Marquez yang tidak asing dengan tuduhan menunggang terlalu agresif sepanjang kariernya menafikan teori yang pelumba lain teruja untuk bersaing dengannya.

"Tidak, saya tidak berfikir seperti itu. Atau saya tidak mahu memikirkannya. Pecco memberitahu kepada saya yang dia hanya memikirkan mengenai tambahan dua mata dan mempertahankan kedudukannya," kata Marquez.

"Pada pusingan awal perlumbaan, kamu perlu agresif. Pada penghujung perlumbaan, jika kamu bersaing merebut kejuaraan, mungkin kamu boleh agresif.

"Tetapi hari ini saya fikir ia bukanlah tempoh untuk melakukannya. Tetapi tidak apa jika dia memutuskan untuk mencubanya dan sudah tentu dia belajar.

"Dia kata dia cuba untuk bangkit, tetapi dia tidak menjangkakan sentuhan. Pada akhirnya, saya menerima sentuhan. Tetapi nasib baik saya tidak cedera. Dia juga tak cedera jadi itu yang utama," katanya.