'Pecco' Turun 'Takhta', Jorge Martin Ganti Pendahulu Carta MotoGP 2023

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/14/20232 min read

JORGE Martin seperti jangkaan ramai merampas kedudukan pendahulu carta kedudukan pelumba MotoGP 2023 selepas merangkul kemenangan di Perlumbaan Sprint Grand Prix Indonesia 2023, hari ini.

Kemenangan dalam aksi 'Selingan' di Mandalika itu adalah yang keempat berturut-turut buat pelumba pasukan satelit Ducati itu, Pramac Ducati selepas Jepun, India dan San Marino.

Dan kejayaan yang diperoleh menyaksikan Martin mencantas kedudukan Francesco Bagnaia sebagai pendahulu kejuaraan selepas penyandang juara dunia dari pasukan 'Factory' Ducati itu melepasi garisan penamat di kedudukan kelapan.

Lebih mengagumkan buat Martin, dia yang kini dipisahkan lapan mata dengan Bagnaia dalam carta kedudukan pelumba memulakan perlumbaan di petak keenam.

Selain Pramac Ducati, turut mengisi podium di Indonesia adalah 'duo' pasukan Mooney VR46 Ducati, Luca Marini dan rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi.

Mungkin sedikit mengecewakan buat Marini yang juga adik kepada legenda MotoGP, Valentino Rossi selepas dia memulakan perlumbaan di petak utama.

Begitupun, aksi yang ditampilkan Bezzecchi harus dipuji selepas pelumba muda Itali itu memulakan perlumbaan di petak kesembilan namun masih berjaya menaiki podium.

Dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik itu, pelumba sensasi Repsol Honda, Marc Marquez menjadi pelumba pertama terjatuh. Turut terjatuh adalah pelumba yang memulakan aksi di petak ketiga dari Aprilia, Aleix Espargaro.

Selepas kemenangan Sprint di Mandalika, Martin kini mengumpul 328 mata diikuti Bagnaia 321 mata. Bezzecchi ketiga dengan 272 mata.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Indonesia 2023

1. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), 19 minit 49.711 saat (s)

2. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +1.131s

3. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +2.081s

4. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +2.720s

5. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +3.121s

6. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +4.203s

7. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +4.981s

8. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +5.465s

9. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +7.852s

10. Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), +8.942s

11. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +12.034s

12. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), +14.015s

13. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*, +14.823s

14. Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22), +15.699s

15. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +23.331s

16. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +24.894s

17. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), +27.169s

18. Alex Rins (SPA) LCR Honda (RC213V), +28.980s

19. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +43.090s

Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), DNF

Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF