PEDRO Acosta Akhiri Penantian
Pedro Acosta berjaya merangkul kemenangan sulungnya di pentas MotoGP selepas mengungguli perlumbaan Grand Prix (GP) Austria 2026 yang turut menamatkan kemarau kemenangan pasukan 'tuan rumah' KTM sejak 2022
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/20/20261 min read


PELUMBA bintang KTM, Pedro Acosta akhirnya berjaya merangkul kemenangan sulungnya di pentas MotoGP selepas mengungguli perlumbaan Grand Prix (GP) Austria 2026 yang turut menamatkan kemarau kemenangan pasukan 'tuan rumah' sejak 2022.
Kejayaan yang diraih pelumba kelahiran Sepanyol itu cukup menarik menerusi kebangkitan luar biasa selepas terjatuh ketika sedang memimpin Perlumbaan Sprint pada Sabtu, serta insiden kemalangan ketika sesi pemanas badan.
Beraksi buat kali terakhir di Austria dengan lencana KTM, Acosta yang akan berhijrah ke Ducati musim depan mengetepikan segala tekanan untuk mempamerkan tunggangan tanpa kesilapan sepanjang 28 pusingan untuk mengalahkan pencabar terdekatnya dari Aprilia, Jorge Martin.
Martin yang bermula dari petak utama pantas memimpin saingan sebelum dipintas rakan sepasukannya Marco Bezzecchi pada awal pusingan kedua di Selekoh 1, namun kembali merampas kedudukan berkenaan sejurus selepas itu.
Acosta yang mengekori rapat pantas mengatur strategi dan memanjat ke kedudukan ke-3, sebelum dia cemerlang memintas Bezzecchi di Selekoh 2 pada pusingan ke-4 bagi memberi tekanan kepada Martin.
Kedua-dua pelumba hampir bersentuhan di Selekoh 5 pada pusingan ke-8 selepas Martin sedikit tersasar dan peluang itu tidak dipersiakan oleh Acosta yang menggunakan kelebihan pecutan ketika keluar dari Selekoh 1 untuk merampas kedudukan pertama.
Bekas pemenang gelaran dunia kelas Moto3 dan Moto2 bersama KTM itu kemudian tenang mengekalkan jurang antara 0.6 hingga 0.8 saat di hadapan Martin dan melepasi garisan penamat sebagai juara.
Martin terpaksa berpuas hati di tempat ke-2, hanya dipisahkan 0.192 saat di hadapan Bezzecchi di tempat ketiga.
Pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura menamatkan saingan di kedudukan ke-4.
Dalam pada itu, perlumbaan malang menimpa pencabar kejuaraan, Marc Marquez (Ducati Lenovo) apabila dia terbabas di Selekoh 1 pada pusingan ke-10 yang memaksanya berhempas pulas memintas kelompok pertengahan sebelum menamatkan saingan di tempat ke-5.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan penyandang juara dunia itu ketinggalan 12 mata di belakang Martin dalam perebutan kejuaraan.
Melengkapkan kedudukan 10 teratas adalah Brad Binder (KTM) ke-6, Pecco Bagnaia (Ducati), Fermin Aldeguer (Gresini Ducati) yang diturunkan ke tempat ke-8akibat penalti, Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati) dan Johann Zarco (LCR Honda).
Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez menjadi penunggang tunggal yang gagal menamatkan perlumbaan akibat terjatuh.

