PEDRO Acosta Akhirnya Bergelar Juara, Takluk Sprint GP Thailand 2026

Tampak seperti sudah bersedia dengan gelaran naib juara, Pedro Acosta dinobatkan pemenang selepas steward perlumbaan membuat keputusan untuk menurunkan satu kedudukan terhadap penyandang juara dunia, Marc Marquez susulan tindakan agresifnya pada pusingan kedua terakhir

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/28/20262 min read

PELUMBA Red Bull KTM, Pedro Acosta akhirnya merasai nikmat bergelar juara di pentas MotoGP selepas bergelar pemenang Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Thailand 2026 yang berlangsung penuh dramatik, hari ini di Buriram, Thailand.

Acosta yang tampak seperti sudah bersedia dengan gelaran naib juara dinobatkan pemenang selepas steward perlumbaan membuat keputusan untuk menurunkan satu kedudukan terhadap penyandang juara dunia, Marc Marquez susulan tindakan agresifnya pada pusingan kedua terakhir terhadap Acosta.

Justeru sekali pun pelumba Ducati Lenovo itu selesa untuk melepasi garisan penamat di tempat pertama, Marc akhirnya membiarkan Acosta memintasnya di selekoh terakhir selepas mengetahui mengenai hukuman itu.

Perlumbaan Sprint yang menjadi pembuka tirai kempen MotoGP 2026 dijangka menjadi pertarungan sengit antara Marc Marquez dan Marco Bezzecchi namun ia tidak menjadi apabila pelumba Aprilia Racing itu terjatuh ketika sedang mendahului pada pusingan kedua daripada 13 pusingan.

Kejadian itu membuka laluan kepada Acosta untuk mencabar kemenangan Sprint pertamanya dalam kelas MotoGP yang sekali gus menamatkan kemarau kemenangan dalam kategori itu buat KTM sejak 2023.

Marc memulakan perlumbaan dengan baik dan berjaya memimpin perlumbaan di awal saingan tetapi Bezzecchi membalas di selekoh 8 sebelum terjatuh beberapa selekoh kemudian.

Selepas itu, Marc bersaing dengan Acosta dan saling bertukar kedudukan beberapa kali, dengan pertukaran paling hangat berlaku di selekoh 12 dan selekoh 5 pada pusingan-pusingan akhir.

Pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez melengkapkan kedudukan podium manakala rakan sepasukannya, Ai Ogura di tempat ke-4 sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu.

Seorang lagi pelumba Aprilia, Jorge Martin (Aprilia Racing) di tempat ke-5 diikuti rakan sepasukan Acosta, Brad Binder ke-6 dengan Joan Mir (Honda HRC) muncul pelumba pengeluar Jepun terbaik di tempat ke-7.

Pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio mengisi kedudukan ke-8 dan seorang lagi pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia menjadi pelumba terakhir mengutip mata Sprint di tempat ke-9.

Diogo Moreira dari pasukan LCR Honda muncul pelumba rookie terbaik di tempat ke-13 manakala pelumba Yamaha terbaik adalah Jack Miller di tempat ke-15.

Keputusan Perlumbaan Sprint GP Thailand 2026

  1. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), 19m 39.155s

  2. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP26), +0.108s

  3. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +0.540s

  4. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +2.100s

  5. Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP26), +3.851s

  6. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +4.612s

  7. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +4.924s

  8. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP26), +5.748s

  9. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP26), +6.910s

  10. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +7.796s

  11. Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP26), +8.504s

  12. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +8.577s

  13. Diogo Moreira (BRA) Pro Honda LCR (RC213V), +11.970s

  14. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +12.395s

  15. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +13.467s

  16. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +15.079s

  17. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +15.452s

  18. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +15.876s

  19. Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +21.445s

  20. Toprak Razgatlioglu (TUR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +25.860s

  21. Michele Pirro (ITA) BK8 Gresini Ducati (GP25), +27.892s

Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP26), DNF