PEDRO Acosta Akui Bukan Seorang Yang Penyabar, Peringatan Kepada KTM?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/26/20251 min read

KTM sekali lagi mengharungi minggu yang boleh digambarkan sebagai mengecewakan di Grand Prix (GP) British 2025 dengan pelumba terbaiknya adalah Pedro Acosta yang menamatkan perlumbaan GP di tempat ke-6.

Selepas tiada seorang pun daripada empat pelumbanya berjaya meraih 'tiket' terus ke Kelayakan 2 (Q2) pada Jumaat, situasi itu tidak berubah apabila tiada pelumba daripada KTM layak ke Q2 menerusi Q1 pada Sabtu.

Malah, pelumba terbaiknya di grid adalah Acosta yang memulakan perlumbaan di petak ke-14 dan sekali pun menamatkan perlumbaan di tempat ke-6, juara dunia 2 kali itu tampak berang dengan situasi yang berlaku.

Ketika ditanya oleh Crash.net, pelumba kelahiran Sepanyol itu menyifatkan perlumbaan di Silverstone sebagai 'tiada harapan' dan menuntut penambahbaikkan yang segera.

"Bukan perlumbaan yang pelik. Ia adalah perlumbaan tanpa harapan," kata Acosta.

"Agak sedih untuk melihat kamu cuba untuk menjadi sempurna ketika memecut, mengangkat (jentera), merebahkan badan, serta berusaha untuk berada dekat (dengan pelumba lain), tetapi akhirnya kehilangan segalanya dalam pecutan kerana satu perkara yang jelas, kami tidak mempunyai tahap cengkaman seperti yang dimiliki jentera lain."

"Tetapi itulah yang berlaku dan kami perlu meneruskannya."

Ketika ditanya jika dia perlu menerima situasi itu dan belajar untuk bersabar, Acosta tanpa berselindung memberi jawapan: "Saya tidak dapat menerimanya dan saya bukan seorang yang sabar. Itu saja.

"Peluang hanya datang sekali dalam hidup. Saya tidak akan memggunakan seluruh hidup saya hanya untuk menjadi juara dalam kejuaraan ini. Saya perlukan bantuan daripada 'kilang'. Itu sahaja.

"Kamu hanya muda sehingga tidak lagi. Ramai bintang dalam kejuaraan berkembang dengan cepat dan lenyap dengan pantas. Freddie Spencer. Anda ingat? Dia memenangi dua gelaran, kemudian mengalami masalah dengan tangannya dan tidak pernah kembali seperti dahulu.

"Pada akhirnya, bukan hanya saya seorang. Anda lihat sendiri, keempat-empat pelumba KTM tidak layak ke Kelayakan 2 (Q2) pada minggu ini dan bergelut dengan banyak. Kami memerlukan bantuan daripada pihak 'kilang'.

"Saya bercakap bagi pihak kesemua empat pelumba, bukan saya saja," kata Acosta yang dikaitkan dengan beberapa pasukan antaranya VR46 dan HRC sekali pun masih memiliki kontrak bersama KTM melebihi musim ini.