PEDRO Acosta Akui KTM Tak Patut Memimpin Kejuaraan
Sekalipun mempamerkan aksi hampir sempurna di Thailand minggu lalu, bintang KTM Pedro Acosta memilih untuk merendah diri malah tidak meletakkan sasaran setinggi gunung menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Brazil, hujung minggu ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/20/20261 min read


PEDRO Acosta jelas enggan mendabik dada di sebalik kejayaan luar biasa menerajui carta pelumba MotoGP buat kali pertama dalam sejarah KTM dan menegaskan kedudukan itu bukanlah sasaran utama pasukannya ketika ini.
Sekalipun mempamerkan aksi hampir sempurna di Thailand minggu lalu, pelumba kelahiran Sepanyol itu memilih untuk merendah diri malah tidak meletakkan sasaran setinggi gunung menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Brazil, hujung minggu ini.
Acosta yang mengharungi musim ketiganya di MotoGP berjaya mengutip 32 daripada 37 mata maksimum di Thailand melalui kemenangan sulung dalam perlumbaan Sprint dan tempat kedua dalam perlumbaan GP di belakang Marco Bezzecchi.
Kata Acosta, secara peribadi, dia dan pasukannya sedar mereka tidak seharusnya memimpin kejuaraan ketika ini.
Menurutnya, melihat namanya berada di puncak carta kedudukan pelumba memang menyeronokkan tetapi itu bukanlah sasaran sebenarnya mereka.
"Sasaran kami kekal sama iaitu cuba berada dalam kelompok lima terbaik dan mengelakkan kesilapan mudah seperti kerap terjatuh yang sering saya lakukan pada awal musim lalu," katanya ketika ditemui di litar Goiania memetik laporan Crash.
Acosta dalam pada itu mengakui dia kini lebih matang dalam mengawal emosi berbanding tahun lalu yang menyaksikan dia sering dibelenggu rasa kecewa dan pemikiran negatif.
Selain faktor mental, Acosta turut memuji anjakan teknikal yang dilakukan oleh pasukan dari Mattighofen itu, terutamanya dalam aspek pengurusan tayar yang kini lebih efisien.
"Kami kini lebih mampu 'bertahan' dengan keadaan tayar sepanjang perlumbaan dan ini adalah langkah pertama untuk menjadi kompetitif. Jentera juga semakin mudah dikendalikan dan seluruh pasukan bekerja sangat keras sepanjang musim sejuk lalu.
"Mungkin ia adalah kombinasi banyak perkara termasuk situasi keseluruhan jenama (KTM) yang kini lebih baik," kata Acosta.
Selain Acosta, rakan sepasukannya, Brad Binder menduduki tempat keenam keseluruhan yang menyaksikan KTM kembali mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pencabar serius kepada dominasi Ducati musim ini.

