PEDRO Acosta Alami Masalah 'Arm-pump' Hanya Khabar Angin - Herve Poncharal

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/4/20241 min read

BOS Red Bull GasGas Tech3, Herve Poncharal menafikan khabar angin yang mendakwa pelumbanya, Pedro Acosta menghadapi masalah 'Arm-pump' dan bakal menjalani rawatan di Portugal.

Khabar angin mengenai perkara berkenaan tersebar sebelum Grand Prix (GP) Portugal di mana Acosta dikatakan mengunjungi hospital bagi menilai keadaan lengannya, yang kemudian didiagnosis sebagai Sindrom 'Compartmental' atau 'Arm-pump'.

Pelumba Rookie sensasi MotoGP itu menafikan dia menghadapi sebarang masalah fizikal ketika GP Qatar, kenyataan yang cukup berbeza daripada spekulasi yang mendakwa prestasinya merudum ketika perlumbaan utama di Losail.

Dan apabila khabar angin itu makin kuat di Portugal, Pengarah Tech3, Poncharal tampil mengesahkan yang anak buahnya itu berada dalam keadaan sihat dan cergas.

"Pedro jelas tidak perlu ke hospital selepas perlumbaan terakhir," kata Poncharal memetik laporan Speedweek.

"Malah tiada juga masalah mengenai sindrom 'Compartmental' di Portugal, seperti yang dapat dilihat dengan jelas semua orang."

Speedweek dalam pada itu turut melaporkan pelumba kelahiran Sepanyol itu menghabiskan cuti Easter dengan latihan ringan bersama jurulatih 'cross-fit', Desire Piqueras, yang juga kakal kepada pelumba Moto3, Angel Piqueras.

Acosta yang juga juara dunia Moto2 musim lalu berjaya meraih podium pertamanya di MotoGP pada perlumbaan GP Portugal di Portimao yang juga penampilan keduanya di MotoGP.