PEDRO Acosta Bengang Isu Rantai Putus KTM
Situasi 'pelik' itu berlaku ketika Pedro Acosta berada di kedudukan keempat dengan rantai jenteranya putus selepas keluar dari selekoh ke-6, yang memaksanya untuk meninggalkan pelumbaan lebih awal
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/15/20251 min read


PELUMBA bintang KTM, Pedro Acosta mengharungi detik mengecewakan di Grand Prix (GP) San Marino 2025 yang menyaksikan rantai jenteranya putus ketika sedang bersaing bagi kedudukan keempat perlumbaan MotoGP di Misano.
Insiden pelik itu berlaku pada pusingan kelapan perlumbaan, ketika dia keluar dari selekoh 6 pada kelajuan tinggi.
KTM dijangka tampil dengan prestasi baik di Misano berdasarkan keputusan yang diraih mereka mereka di litar berkenaan sebelum ini.
Tetapi cengkaman tinggi dari permukaan litar menyebabkan semua pelumba KTM bergelut dengan kestabilan tayar belakang yang menolak bahagian hadapan ketika membrek.
Dan Acosta yang menjadi pelumba KTM paling kompetitif selepas menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat kelima sebelum dipalit situasi mengecewakan pada perlumbaan utama.
"Sangat mengecewakan bila perkara sebegini berlaku pada hari Ahad,” kata Acosta. “Kami datang dari hujung minggu yang sukar, dan nampaknya hanya kami yang menunjukkan peningkatan.
"Sukar untuk terima apabila masalah di luar kawalan kami merosakkan perlumbaan."
Acosta menegaskan, sekali pun sukan permotoran turut membabitkan elemen mekanikal yang tidak dapat dijangka, masalah seperti itu sepatutnya tidak berlaku.
Justeru, dia mahu melupakan insiden berkenaan dan fokus kepada perlumbaan seterusnya di Jepun.
Masalah rantai bukan yang pertama untuk KTM di Misano kerana Brad Binder mengalami dua kegagalan rantai sepanjang hujung minggu, termasuk satu pada hari Sabtu yang memaksanya menggunakan jentera gantian yang turut mengalami masalah enjin.
Setakat ini, KTM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca sebenar isu rantai yang berulang pada jentera KTM RC16 mereka.
