PEDRO Acosta Bengang Penalti Terhadap Maverick Vinales

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/15/20252 min read

PENALTI yang dikenakan kepada pelumba Tech3 KTM, Maverick Vinales di Grand Prix Qatar 2025 mengundang rasa bengang Pedro Acosta.

Vinales mencipta sensasi di Losail apabila menamatkan perlumbaan utama di kedudukan kedua tetapi kejayaan di podium itu 'dirampas' susulan penalti 16 saat yang dikenakan kepadanya susulan pelanggaran peraturan had minimum tekanan tayar.

Justeru, selepas meraikan kejayaan itu di podium, penalti itu membuatkan Vinales terpaksa menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 dan menjadi pelumba ketiga terlepas kedudukan podium atas isu sama.

"Saya tidak fikir ia adil yang kedudukan podium seperti diperoleh Maverick berakhir seperti budak kecil melakukan penipuan," kata Acosta yang menamatkan perlumbaan GP di Losail di tangga ke-8 kepada AS.

"Saya berlumba di belakang orang lain dan berdepan masalah sama. Dan Maverick, ok, mungkin dia melakukannya sedikit lebih kerana dia menunggang berseorangan.

"Ia seperti (Marc) Marquez di Thailand. Siapa yang menjangkakan perkara itu, dengan keadaan panas, dia akan berdepan masalah tekanan? Tiada siapa yang menjangkakannya.

"Jadi peraturan itu agak rumit, kerana kamu bukan tukang tilik untuk mengetahui apakah keadaan suhu ketika perlumbaan, atau sama ada tayar akan tercabut atau tidak, atau akan ada angin lintang.

"Mereka perlu melihat semula peraturan ini dan berkata jika tekanan angin tepat sejak dari awal perlumbaab, kamu tidak boleh memimpin perlumbaan dan perlu berada di belakang seseorang. OK, Marc, kerana ia mempunyai banyak ruang.

"Bayangkan situasinya jika Maverick menang perlumbaan dan kemenangan itu diambil semula selepas kamu menjadi yang paling laju."

Acosta menjelaskan, antara kesukaran yang dihadapi pasukan adalah mereka perlu meramal tekanan tayar sebelum perlumbaan dengan tepat tetapi keadaan boleh berubah berdasarkan cuaca dan beberapa faktor lain.

"Kami juga perlu mengambil kira bahawa bahagian hadapan motosikal menjadi sangat panas kerana cakera brek. Selepas perlumbaan, jika anda mendekati motosikal kami, anda tak boleh menyentuhnya...," kata Acosta.

"Ia sangat sensitif, dan saya memahaminya. Tetapi bagi seseorang yang kehilangan podium kerana hal ini...

"Kembali kepada Marc di Thailand: jika kemenangan Marc ditarik kerana tidak pergi ke belakang, ia adalah bermakna kemenangan diambil daripada pelumba yang paling laju.

"Jika dia (Vinales) mempunyai tekanan yang betul dari awal, apa yang sepatutnya Maverick lakukan? Seperti Marc dan membiarkan orang lain memotong? Ia agak rumit untuk difahami."

Selepas bergelar pasukan kedua terbaik pada musim lalu, KTM berdepan kesukaran tahun ini selepas syarikat induknya berdepan masalah kewangan serius.