PEDRO Acosta 'Bikin Panas' Di Australia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/17/20242 min read

PELUMBA pasukan Tech3 GasGas, Pedro Acosta mengeluarkan soalan yang boleh dianggap 'panas' ketika sidang media rasmi Grand Prix (GP) Australia 2024 kepada kedua-dua pelumba yang sedang merebut gelaran dunia MotoGP musim ini, Pecco Bagnaia dan Jorge Martin.

Memetik laporan Crash.net, pelumba 'rookie' tunggal MotoGP itu menujukan soalan kepada Martin dan Bagnaia: "Adalah pengeluar (Ducati) mempengaruhi pertarungan kejuaraan?

Seperti diketahui, Martin yang juga pendahulu kejuaraan beraksi bersama pasukan satelit rasmi Ducati, Pramac manakala Bagnaia yang juga penyandang juara berlumba dengan lencana Ducati Lenovo yang juga pasukan 'kilang' pengeluar Itali itu.

Dan jawapan Martin: "Saya faham mengapa mereka bertanya soalan ini, ini kerana mereka berfikir mengenainya. Tetapi bagi saya, saya tidak mengawalnya, jadi saya tidak akan fokus mengenai perkara itu. Saya akan fokus dengan tunggangan saya.

"Sudah tentu saya berharap tidak. Tetapi saya akan fokus kepada apa yang saya boleh kawal iaitu menunggang pada tahap 100 peratus dan cuba untuk menjadi laju."

Bagnaia dalam pada itu menjawab jika Ducati ini mempengarugi kejuaraan, dia sepatutnya sudah dibenarkan berlumba menggunakan casis baharu yang digemarinya ketika ujian di Misano.

Sebaliknya, Ducati menyekat sebarang kemas kini teknikal pada musim ini bagi mengelak ia mempengaruhi prestasi pelumba.

"Saya fikir jika mereka (pengeluar) ini membantu saya dengan apa cara sekalipun, saya di Misano boleh mendapat sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang ada dalam pakej kami," kata Bagnaia.

"Kerana kami mencuba casis baharu. Dan casis baharu itu tidak bersedia untuk semua orang, jadi kami tidak menggunakannya. Juga kerana adalah lebih betul ia dibuat seperti ini.

"Saya fikir Gigi (Dall’Igna) sentiasa jelas mengenainya. Sejurus saya mula menunggang bersama Ducati, dan lebih lagi pada dua musim sebelum ini. Pasukan 'kilang' (Lenovo dan Pramac) mempunyai pakej yang sama.

"Tiada lebih, tiada kurang. Atau jika ada sesuatu yang baharu, semua orang dapat sesuatu yang baharu.

"Saya fikir ia adalah strategi yang berbeza berbanding yang lain (pengeluar) tetapi ia adalah strategi yang meletakkan Ducati seperti ini. Jadi ia amat kompetitif atas sebab itu, strategi itu.

"Saya tidak fikir dan tidak percaya yang mereka akan merubah sesuatu (terhadap jentera) sehingga Valencia (berakhir)," kata Bagnaia.

Berbaki 4 pusingan musim ini, Martin yang berusaha untuk menjadi pelumba pasukan satelit pertama menjuarai gelaran dunia MotoGP memiliki kelebihan 10 mata di depan Bagnaia.